KUALA LUMPUR: Literasi pengguna mengenai kepentingan peralihan ke tenaga baharu penting untuk memastikan semua usaha ke arah itu berjaya.

Ketua Tenaga, World Economic Forum (WEF), Espen Mehlum berkata, penyertaan serta sokongan masyarakat juga penting seperti yang dilaksanakan di Jepun dan Eropah.

“Perkara yang boleh dilaksanakan segera, antaranya ialah penggunaan tenaga yang efisien. Pengguna perlu sedar mengenai perkara yang perlu dilakukan untuk menjimatkan tenaga.

“Kita boleh belajar daripada pengalaman krisis tenaga Fukushima, Jepun dan di Eropah yang bergerak ke arah digitalisasi serta mendapat penyertaan yang tinggi dalam kalangan masyarakat.

“Saya fikir sekiranya pengguna sedar tentang kepentingan penjimatan tenaga, ia akan memberi manfaat yang besar kepada setiap isi rumah,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Rabu.

Selain itu, Mehlum berkata inisiatif mengembangkan penjanaan tenaga boleh baharu juga perlu diberikan perhatian untuk meningkatkan penyertaan lebih ramai segmen masyarakat.

Antara lain, katanya adalah dengan memanfaatkan bumbung setiap bangunan yang mempunyai potensi besar untuk diterokai bagi tujuan ini.

Jelasnya, kerajaan juga disarankan untuk memberikan insentif dalam bentuk kewangan dan bukan kewangan untuk membolehkan lebih ramai orang menggunakan pengangkutan elektrik mikro yang kini semakin popular di pelbagai negara.


Literasi dan penyertaan pengguna penting untuk beralih ke tenaga boleh baharu - WEF