Skip to main content

Malaysia

LKAN: Lebih RM183 juta baki geran penyelidikan gagal dipulangkan

51677835844_JABATANAUDITNEGARA.jpg
Audit memaklumkan baki geran penyelidikan yang tidak dipulangkan di keempat-empat kementerian menunjukkan kelemahan dalam pengurusan kawalan kewangan, pemantauan projek dan tatacara penutupan projek selain dana penyelidikan tidak digunakan secara cekap untuk memberi impak ditetapkan. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Jabatan Audit Negara memaklumkan setakat 30 Jun 2025, baki geran penyelidikan di empat kementerian yang tidak dipulangkan berjumlah RM183.11 juta yang melibatkan 7,904 projek.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2026 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, ia melibatkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

Advertisement

Audit memaklumkan baki geran penyelidikan yang tidak dipulangkan di keempat-empat kementerian menunjukkan kelemahan dalam pengurusan kawalan kewangan, pemantauan projek dan tatacara penutupan projek selain dana penyelidikan tidak digunakan secara cekap untuk memberi impak ditetapkan.

KPT mencatatkan baki tertinggi yang tidak dipulangkan berjumlah RM110.67 juta bagi 7,823 projek, melibatkan lima universiti penyelidikan iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Malaya (UM).  

Selain itu, dua agensi pelaksana di bawah MITI mencatatkan baki geran berjumlah RM55.64 juta manakala MOSTI sebanyak RM14.33 juta dan KPKM melibatkan RM2.47 juta.   

Analisis audit turut mendapati sejumlah RM9.72 juta  atau 5.3 peratus ialah baki yang melebihi tempoh 10 tahun manakala RM89.82 juta atau 49 peratus ialah baki bagi tempoh antara lima hingga sembilan tahun.

Laporan itu memaklumkan baki geran penyelidikan yang tidak dipantau oleh kementerian berisiko digunakan untuk tujuan selain daripada kelulusan asal.

Di samping itu, baki geran penyelidikan MITI bagi Rancangan Malaysia ke-11 yang tidak dipulangkan iaitu RM55.64 juta melibatkan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF).

Menurut laporan itu, agensi pelaksana telah menggunakan baki peruntukan bagi membiayai projek-projek baharu Rancangan Malaysia ke-12 tanpa kelulusan Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video