Skip to main content

Malaysia

LKAN: PAC akan mulakan prosiding ke atas UKM, dua lagi isu

41759921149_MasErmieyatiSamsud.jpg
Mas Ermieyati berkata menjadi komitmen berterusan PAC terhadap obligasi semak dan imbang bagi memastikan setiap sen wang pembayar cukai diurus dengan integriti, ketelusan dan kecekapan tertinggi. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) -- Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memulakan prosiding terhadap tiga isu utama yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2026, kata Pengerusinya Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Beliau berkata ia melibatkan prosiding pengurusan dan tadbir urus Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang dibangkitkan LKAN berhubung pelanggaran perlembagaan universiti, aktiviti pungutan hasil tanpa mandat, konflik kepentingan dalam kalangan penjawat awam serta kegagalan pengurusan projek naik taraf bangunan dan fasiliti uzur.

Advertisement

“Isu kedua adalah Program Penyelidikan, Pembangunan, Pengkomersialan dan Inovasi (R&D&C&I). Melalui pelaporan LKAN, ekosistem R&D&C&I ini jelas berhadapan dengan defisit prestasi serta pembaziran dan permasalahan tadbir urus yang kritikal, serta kehilangan aset intelektual,” katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen, di sini hari ini.

Mas Ermieyati berkata prosiding lain berkaitan Pelaburan Hartanah Berhad (PHB), dengan LKAN telah membangkitkan isu berhubung pengurusan syarikat khususnya krisis tadbir urus projek fizikal yang dijalankan.

“Tarikh prosiding serta senarai saksi yang akan dipanggil bagi memberi keterangan berhubung ketiga-tiga isu berkenaan akan dimaklumkan kemudian,” katanya.

Beliau berkata prosiding melibatkan tiga isu berkenaan dibuat selepas mendengar taklimat Ketua Audit Negara berhubung dua laporan utama LKAN 1/2026, iaitu Penyata Kewangan Agensi Persekutuan Tahun 2024 serta Aktiviti Kementerian, Jabatan, Badan-Badan Berkanun Persekutuan dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan.

Mas Ermieyati berkata menjadi komitmen berterusan PAC terhadap obligasi semak dan imbang bagi memastikan setiap sen wang pembayar cukai diurus dengan integriti, ketelusan dan kecekapan tertinggi.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement: No Ad Tag found