MALAYSIA
LKAN: RM48.87 bilion nilai kos keseluruhan yang diaudit, bukan jumlah ketirisan

Wan Suraya berkata jumlah itu bukan ketirisan atau kerugian seperti yang dilaporkan dalam beberapa portal media. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025 mengaudit lima program, aktiviti dan projek di tujuh kementerian dengan nilai kos keseluruhan berjumlah RM48.87 bilion, menurut Ketua Audit Negara Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi.
Ringkasan AI
- LKAN 2/2025 mengaudit lima program, aktiviti dan projek di tujuh kementerian dengan kos keseluruhan RM48.87 bilion, namun jumlah itu bukan ketirisan atau kerugian seperti yang disalah tafsir oleh beberapa portal media.
- Sebanyak 44 isu telah dikenal pasti dan dimuat naik ke papan pemuka dalam talian untuk tindakan susulan oleh kementerian dan jabatan terlibat, serta akan dibincangkan dalam mesyuarat JSLKAN dan JTKS.
- Audit yang dijalankan dari 2024 hingga Jun 2025 telah membantu kerajaan memperoleh bayaran balik RM157.73 juta, dan laporan ini dibentangkan di Dewan Rakyat dengan sokongan penuh daripada Perdana Menteri dan Jemaah Menteri.
Beliau berkata skop pengauditan itu secara amnya mengambil kira prestasi program, projek dan aktiviti yang telah dilaksanakan merangkumi pelbagai tahun ke belakang (isu-isu legasi) serta sebarang usaha atau inisiatif yang telah diperkenalkan oleh kerajaan.
Justeru, katanya setiap penemuan yang dibentangkan dalam laporan berkenaan disusuli dengan syor penambahbaikan yang konstruktif bagi membantu kementerian dan jabatan serta agensi kerajaan meningkatkan kecekapan operasi serta memperkukuh sistem dalaman dan pematuhan.
Wan Suraya berkata sebanyak 44 isu yang telah dilaporkan dalam LKAN 2/2025 telah pun dimuat naik di papan pemuka dalam talian Ketua Audit Negara (AGD) semalam untuk disusuli dengan kementerian dan jabatan berkenaan.
Beliau berkata isu-isu yang sama juga akan dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Susulan Laporan Ketua Audit Negara (JSLKAN) dan Jawatankuasa Tindakan Ketakteraturan Serius (JTKS) yang dipengerusikan oleh Ketua Audit Negara dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan secara bersama.
"Bagi tempoh 2024 hingga Jun 2025, susulan audit yang dilaksanakan oleh Jabatan Audit Negara (JAN) telah berjaya membantu kerajaan mendapat bayaran balik berjumlah RM157.73 juta, antaranya menerusi tuntutan penalti, sewa tertunggak, kutipan Liquidated Ascertained Damages (LAD), tunggakan pajakan tanah, kutipan duti dan cukai," katanya.
Wan Suraya berkata LKAN 2/2025 telah dibentangkan dalam Dewan Rakyat semalam setelah mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan seterusnya laporan itu akan dibahaskan di Dewan Rakyat esok.
Beliau berkata sepanjang proses pengauditan, JAN mendapat sokongan jitu daripada semua jentera kerajaan termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Jemaah Menteri.
Kerjasama dan komitmen itu katanya, amat penting sebagai pemangkin kepada tadbir urus berintegriti, dan menyokong agenda reformasi sektor awam ke arah pentadbiran yang cekap, berakauntabiliti dan berorientasikan rakyat.
Orang ramai dinasihatkan mendapatkan gambaran berfakta, tepat dan menyeluruh dari laman sesawang JAN melalui www.audit.gov.my.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami