TH Hotel & Residence Sdn Bhd disenarai dalam kategori tabdir urus kurang memuaskan menerusi laporan pengauditan pengurusan syarikat di peringkat Kerajaan Persekutuan.

Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid yang memaklumkan perkara itu berkata, sebuah syarikat lagi dalam senarai sama ialah Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp).

"Pengauditan bagi pengurusan syarikat kerajaan dijalankan selaras dengan Seksyen 5(1)(d), Akta Audit 1957. Pengauditan ini merangkumi tiga aspek iaitu tadbir urus korporat, pengurusan aktiviti dan analisis kedudukan kewangan syarikat.

"Sebanyak sembilan pengauditan pengurusan syarikat kerajaan telah dilaksanakan di peringkat ini," katanya dalam sidang media sempena Pembentangan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2019 Siri 1 di sini hari ini.

Dalam pada itu, Nik Azman berkata, sebanyak tiga syarikat iaitu SME Bank, Uda Holding Berhad (UDA) dan Malaysia Industry Government Group For High Technology (MIGHT) mencapai tabdir urus yang baik.

"Empat syarikat pula mencapai tabdir urus memuaskan iaitu Amanah Raya Berhad (Amanah Raya), Technology Park Malaysia (TPM), CIDB E-Construct Services Sdn Bhd (CIDBEC) dan National Institutes of Biotechnology Malaysia (NIBM)," ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata, CIDBEC menjadi syarikat tunggal mempunyai kedudukan kewangan pada tahap baik manakala lapan yang lain berada pada tahap stabil.

"Secara keseluruhannya, lima syarikat mencapai objektif yang ditetapkan iaitu UDA, SME Bank, Amanah Raya, Might dan NIBM manakala empat yang lain iaitu tidak mencapai objektif sepenuhnya," jelasnya lagi.