JASIN: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) akan mengenal pasti dan membangunkan semula tanah dan kolam ternakannya yang terbiar di seluruh negara dalam usaha memperkasakan projek pembangunan akuakultur.

Pengerusi LKIM Muhammad Faiz Fadzil berkata usaha itu bagi meningkatkan keupayaan akuakultur dalam membekalkan sumber protein kepada negara sekali gus menyokong program sekuriti makanan pada masa depan.

"Antara empat lokasi yang telah dikenal pasti dan sedang dalam proses dinaik taraf kemudahan ialah di Juru, Pulau Pinang; Bukit Malut Langkawi dan Pantai Merdeka, Kedah serta Badong, Pahang untuk ternakan udang.

"LKIM juga mengenal pasti lokasi lain untuk membangunkan semula kolam terbiar dan memperuntukkan kira-kira RM5 juta bagi keseluruhan bagi projek tersebut selain menerusi pelaburan dan penglibatan pihak swasta serta persatuan nelayan sendiri," katanya kepada pemberita di Kampung Sebatu, Sungai Rambai di sini semalam.

Terdahulu beliau hadir pada program Jualan MyAQua' Best di Projek Ternakan Udang Dalam Kolam Fasa 2 yang turut dihadiri Pengarah Bahagian Pemasaran dan Pelesenan LKIM Dr Abdul Salim Tajudin.

Mengulas lanjut Muhammad Faiz berkata LKIM juga akan mengerakkan pembangunan projek akuakultur secara lebih berstruktrur dengan kerjasama semua persatuan nelayan kawasan masing-masing bagi memastikan pasaran hasil keluaran diperluaskan.

Dalam pada itu beliau berkata pelaksanaan Jualan MyAQua' Best dilihat sebagai satu daripada program yang cepat dan berkesan bagi LKIM membantu para usahawan memasarkan produk secara terus kepada pengguna.

Katanya ia secara langsung dapat mengurangkan kos sara hidup rakyat terutama dalam komponen makanan melalui harga penjimatan 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran setempat.

"Program ini baharu diperkenalkan sejak dua bulan lepas dan sehingga Oktober lalu, nilai jualan menerusi program ini mencatatkan kutipan RM58,720 di empat lokasi dengan melibatkan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) sebagai pemasar dan kita jangka mampu mencapai sasaran sehingga RM100,000 hingga hujung tahun ini.

"LKIM menyasarkan lapan lokasi penganjuran MyAQua' Best di seluruh negara pada tahun ini dengan empat lokasi telah berjaya dilaksanakan dan program jualan ini akan diteruskan pada tahun depan dengan sasaran jualan RM500,000," katanya.

-- BERNAMA