Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) hari ini memberi jaminan akan mempertahankan kawasan nelayan di Permatang Damar Laut, Sungai Batu dan Teluk Kumbar daripada sebarang aktiviti tambakan laut.

Pengerusinya Datuk Irmohizam Ibrahim berkata pihaknya menolak sekeras-kerasnya semua cadangan projek penambakan laut oleh kerajaan DAP Pulau Pinang di kawasan itu yang disifatkan tidak memberi manfaat kepada golongan nelayan di situ.

Beliau berkata cadangan kawasan tambakan laut itu meliputi kawasan seluas 809.73 hektar dan pembinaan tiga buah pulau buatan yang dipercayai akan merosakkan ekosistem sekali gus menjejaskan sumber pendapatan 1,700 nelayan dari kawasan Teluk Kumbar, Gertak Sanggul, Sungai Batu dan Permatang Damar Laut.

"Rasionalnya (projek tambakan laut) saya lihat banyak menjurus kepada pengkorporatan dan pengkomersilan, tapi rasional untuk menjaga kebajikan golongan bawahan ini saya tidak nampak.

"Ini saya lihat penting kerana sebagai pengerusi LKIM saya ingin memastikan sumber ikan sentiasa ada terutama sekali ikan segar. Yang paling penting kita nak kurangkan kebergantungan kepada import ikan kerana Balik Pulau ini antara tempat sumber ikan yang paling banyak khususnya di Pulau Pinang mahupun di kawasan Selat Melaka.

"Jadi, janganlah musnahkan segala bentuk sumber ekonomi yang ada termasuk juga kehidupan nelayan yang telah menjadi warisan di kawasan ini sejak berkurun lamanya," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan nelayan-nelayan, di Dewan Nelayan Unit Sungai Batu, Teluk Kumbar dekat sini.

Yang turut hadir Anggota Parlimen Balik Pulau yang juga Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.

Irmohizam berkata LKIM mewujudkan pasar nelayan di kawasan Teluk Kumbar, Sungai Batu dan Pulau Betong bagi membolehkan nelayan menjual ikan segar terus kepada pelanggan yang mampu memberi pendapatan sehingga mencecah RM4 juta setahun dan jika cadangan itu diteruskan ia akan mempengaruhi hasil jualan nelayan di negeri ini.

Katanya kerajaan negeri seharusnya memikirkan nasib golongan rakyat bawahan yang berpendapatan rendah dan bukan hanya memikirkan kepentingan ekonomi pelabur luar yang belum tentu dapat memberikan faedah kepada kerajaan negeri.

Tidak munasabah

Ditanya jika kerajaan pusat meluluskan projek tambakan laut yang dicadangkan oleh kerajaan negeri itu, Irmohizam berkata: "Kami tetap menolak projek ini.

"Pada hemat saya yang paling penting sekali ialah suara rakyat di kawasan ini, sudah tentunya saya menyokong pandangan itu".

Sementara itu, Dr Hilmi berkata alasan kerajaan negeri mahu meneruskan projek tambakan laut itu hanya kerana mahu membina pengangkutan awam di kawasan itu adalah tidak boleh diterima dan tidak munasabah.

"Kos pembinaan pengangkutan itu memang tidak akan mampu dibuat oleh mana-mana kerajaan negeri, termasuk Pulau Pinang. Apabila siap dibina, nak selenggara pula memerlukan kos yang tinggi.

"Memang di mana-mana di dunia pun pengangkutan awam tak boleh dibuat secara ini, memerlukan dana yang lain. Bukan dapatkan dana tempatan nak bina pengangkutan awam ini memang satu perkara yang tak logik, tak masuk akal," katanya.

Beliau turut menyifatkan perkara itu sebagai 'isu gimik' oleh kerajaan negeri yang akhirnya menimbulkan kemarahan rakyat di negeri ini.

"Jadi, bila kerajaan pusat tolak cadangan ini (nanti), mereka (kerajaan negeri) akan kata tengok kami nak bina tapi kerajaan pusat tolak, ia akan jadi isu politik ... akan menimbulkan kemarahan rakyat Pulau Pinang," katanya.