PASIR PUTEH: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memperuntukkan RM228.2 juta bagi membina dan membaik pulih rumah nelayan di seluruh negara menerusi Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN) sejak 2013 hingga September tahun ini.

Pengerusinya Muhammad Faiz Fadzil berkata peruntukan itu membabitkan RM16.3 juta bagi pembinaan 257 rumah baharu dan RM211.9 juta bagi membaik pulih 20,086 kediaman sedia ada.

"Setakat ini kita menerima lebih 500 permohonan untuk bina baharu rumah yang masih kita pertimbangkan untuk diluluskan. Bagi tahun hadapan kita akan usahakan untuk membaik pulih 348 buah rumah lagi selain membina 48 buah rumah baharu.

"Pemilihan ini berdasarkan syarat-syarat yang telah kita tetapkan termasuk nelayan berkenaan memiliki tanah sendiri selain aktif dalam persatuan dan aktiviti penangkapan hasil laut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Rahmah Mesra Madani Libat Urus Pengerusi LKIM bersama Nelayan Negeri Kelantan di Wisma Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Semerak, di sini pada Rabu, yang turut dihadiri Pengarah LKIM negeri Khuzaimah Husain.

Pada program itu, 200 ahli PNK daripada PNK Semerak, PNK Bachok, PNK Kota Bharu dan PNK Tumpat yang terkesan banjir menerima bakul makanan membabitkan peruntukan berjumlah RM20,000.

Muhammad Faiz berkata sumbangan itu menunjukkan keprihatinan LKIM memandangkan golongan itu tidak dapat ke laut pada musim tengkujuh.

"LKIM sentiasa berusaha dan komited untuk membantu meringankan beban yang ditanggung nelayan seterusnya memastikan kebajikan nelayan terjaga dan sekuriti makanan sentiasa terjamin dalam apa jua keadaan," katanya.

Terdahulu Muhammad Faiz melawat Kilang Air Batu Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) di Pelabuhan Perikanan LKIM Tok Bali untuk meninjau proses pembuatan dan pemasaran air batu.

Kilang yang dibina dengan kos hampir RM10 juta itu merupakan inisiatif Nekmat dalam memastikan bekalan air batu mencukui untuk nelayan di kawasan Pasir Puteh khususnya yang beroperasi di Tok Bali.

Kilang tersebut mampu menghasilkan 200 tan metrik blok ais sehari bagi keperluan kira-kira 400 bot nelayan laut dalam dan pantai.

-- BERNAMA