MELAKA: Jabatan Kesihatan Melaka akan memperluas lokaliti pelepasan nyamuk Aedes Berwolbachia di kawasan yang dikesan berlaku peningkatan kes demam denggi khususnya di Melaka Tengah secara berperingkat dalam usaha mengekang wabak berkenaan di negeri itu.

Pengarah Kesihatan Melaka Datuk Dr Rusdi Abd Rahman berkata antara kawasan menjadi fokus pelaksanaan insiatif itu ialah Kota Laksamana, Sungai Udang dan Bukit Baru namun ia bergantung kepada keupayaan pelbagai pihak dalam usaha membiakkan serangga tersebut.

"Jika kita dapat membiakkan dua hingga tiga juta ekor nyamuk Berwolbachia seminggu, mungkin Projek Pelepasan Nyamuk Berwolbachia dapat diperluas ke lebih banyak lokaliti 'panas' demam denggi.

"Namun setakat ini, kita hanya mampu membiakkan nyamuk Berwolbachia sekitar 50,000 seminggu kerana kapasiti kita bergantung kepada banyak pihak antaranya Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) kerana mereka terlibat dalam penghasilan telur nyamuk berkenaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Pelepasan Nyamuk Aedes Dewasa Berwolbachia di Pangsapuri Taman Tasik Utama yang merupakan lokasiti kedua pelaksanaan inisiatif itu selepas Taman Bemban Jaya, Jasin sebelum ini.

Mengulas lanjut, Dr Rusdi berkata pihaknya juga dalam usaha menaik taraf makmal khas untuk menjalankan proses menetas dan membiakkan nyamuk berkenaan yang terletak di Ayer Molek di sini agar kapasiti pelepasan nyamuk Berwolbachia dapat dipertingkat.

Dalam pada itu, beliau berkata walaupun tiada kematian direkodkan akibat denggi di negeri itu pada Minggu Epidemilogi (ME 39) berakhir pada 30 Sept lepas, namun kes demam itu mencatatkan peningkatan sebanyak 96.61 peratus kepada 869 kes berbanding 442 kes dalam tempoh sama tahun lepas.

Beliau berkata sehingga 30 Sept lepas juga, pihaknya telah memeriksa 67,344 premis di negeri itu dan 7,793 daripada premis berkenaan dikesan positif pembiakan nyamuk Aedes.

"Sebanyak 549 kompaun bernilai RM274,500 juga dikeluarkan, 248 kes didaftarkan di mahkamah kerana tidak membayar kompaun manakala sebanyak 79 kes pula disabitkan kesalahan," katanya.

Terdahulu, beliau berkata projek perintis pelepasan nyamuk Berwolbachia di Taman Bemban Jaya menunjukkan impak positif kerana data menunjukkan kepadatan nyamuk Aedes berwolbachia juga mencapai tahap 80 peratus dan tiada kes demam denggi dilaporkan sehingga hari ini.

Katanya justeru inisiatif itu diteruskan ke lokaliti kedua di Pangsapuri Taman Tasik Utama di sini hari ini dengan sasaran pelepasan kira-kira 250,000 ekor nyamuk Berwolbachia sehingga Januari tahun hadapan.

-- BERNAMA