TEMERLOH: Gajah tertua di negara ini, Lokimala mati di usia 86 tahun pada Jumaat akibat sakit tua selepas dibawa masuk dari Assam, India 22 Jun 1974.

Gajah betina milik Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Lanchang bertindak sebagai denak di pusat terbabit.

Sepanjang hayat Lokimala, gajah itu terbabit dalam operasi memindahkan lebih 150 ekor gajah liar di beberapa negeri dan dikenali dengan sifatnya yang mudah dikawal, jinak, rajin dan bersaiz besar.

Ketua PKGK Kuala Gandah, Che Ku Mohd Zamzuri Chik Wan Ab Rahman memberitahu sepanjang berada di negara ini, Lokimala berkhidmat dengan Unit Kebajikan Gajah dan Unit Pengurusan Gajah.

Menurutnya, Lokimala kemudiannya menyertai pasukan PKGK sebagai gajah denak yang terbabit dalam operasi memindahkan gajah liar yang ditangkap di Semenanjung.

"Lokimala dibawa masuk ke negara ini bersama tiga lagi gajah dari India bernama Ganesh, Lal Bahadul dan Paul Bahadul bagi membantu kerja tangkapan dan pemindahan gajah liar oleh PKGK.

"Selain bertugas dalam operasi pemindahan gajah liar, Lokimala sebelum ini turut terbabit aktiviti pertunjukan untuk tontonan pelancong yang datang ke PKGK," kata beliau pada Sabtu.

Ujar Che Ku, faktor usia dan tahap kesihatan gajah berkenaan kurang memuaskan sejak beberapa tahun lalu memaksa pihaknya mengambil keputusan merehatkan Lokimala pada 2007.

Tambah beliau, seorang kakitangan ditugaskan menjaga sepenuhnya gajah itu untuk urusan makan, minum, rawatan dan membersih tempat tinggalnya.

"Tahap kesihatan Lokimala semakin menurun pada Khamis sehingga tidak dapat berdiri dan pernafasannya semakin perlahan, seterusnya mati kira-kira jam 10.54 pagi Jumaat serta ditanam dalam kawasan PKGK pada hari sama selepas bedah siasat.

"Usia Lokimala 86 tahun menyamai umur gajah bernama 'Lin Wang' yang ditempatkan di Zoo Taipei pada 2003 yang dicatat Rekod Dunia Guinness," kata beliau terdapat 26 gajah denak di pusat tersebut.

Bagi seorang kakitangan yang ditugaskan menjaga Lokimala, M Shujaei Aziz, 46, sedih dengan kehilangan gajah itu dan menyimpan pelbagai kenangan bersama haiwan tersebut.

Ditugaskan menjaga Lokimala sejak lebih setahun lalu, beliau menyifatkan gajah betina itu mudah diurus dan perlu menyediakan makanan sebanyak tiga kali sehari termasuk buah-buahan, umbut pokok pisang dan beberapa jenis rumput.

"Faktor usia menyebabkan semua jenis makanan disediakan daripada jenis lembut bagi memudahkan penghadaman Lokimala.

"Kenangan menjaga Lokimala tidak mungkin dilupakan, kakitangan PKGK Lanchang turut bersedih dengan kehilangan Lokimala yang setia, manja dan mudah dikawal ketika bertugas," ujar beliau lagi.

Lokimala dibawa masuk ke Malaysia pada usia 37 tahun, adalah gajah tertua di PKGK serta terlibat dalam operasi antaranya di Merbau Berdarah, Selangor dan Operasi Tasik Kenyir. - Sinar Harian