Penduduk Kampung Melayu Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) sekali lagi melahirkan rasa kecewa terhadap sikap kontraktor yang masih membuang sisa binaan di Jalan 3/1 dan 6/1 meskipun sudah diberi amaran oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Bagaikan 'mencurah air ke daun keladi', penduduk mendakwa longgokan sampah itu wujud kembali sejak dua minggu lalu di tapak projek berhampiran kawasan perumahan mereka yang bakal dibina laluan alternatif ke lebuh raya berhampiran.

Projek itu bakal menghubungkan Jalan 6/1 dan Jalan 3/1 yang pada terputus disebabkan gaung.

Penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Ashim mendakwa beberapa lori yang dipercayai membawa sisa bahan binaan itu dilihat keluar masuk di kawasan tersebut sejak dua minggu lalu.

"Sebelum ini, kami sudah memaklumkan kepada DBKL untuk mengambil tindakan dan kontraktor sudah mendapat arahan untuk tidak membuang sampah.... nampaknya mereka tidak mematuhi peraturan dan longgokan sampah itu bertimbun lagi.

"Kali ini mereka membuang sisa-sisa bahan binaan seperti serpihan atap, kayu, plastik dan sebagainya di tepi gaung tapak projek itu.... Kami bimbang jika dibina jalan kelak akan menimbulkan mendapan," katanya kepada Bernama hari ini.

Tapak projek itu sepatutnya ditambak tanah dan batu sahaja untuk menutup gaung sedalam lebih 15 meter.

"Nampaknya kontraktor masih degil dan tidak mengendahkan amaran oleh DBKL, kami risau akan keselamatan penduduk sekiranya projek menyambung jalan itu siap selepas dua tahun," katanya.

Beliau berharap DBKL dapat mengambil tindakan kompaun ke atas kontraktor terbabit.

Pada April lepas, Bernama melaporkan aduan penduduk mengenai longgokan sampah yang bertimbun di depan kawasan perumahan mereka yang didakwa dijadikan tambakan untuk menutup gaung bagi memberi laluan kepada pembinaan sambungan Jalan 3/1 dan Jalan 6/1.

Longgokan sampah yang didakwa menimbulkan bau busuk itu bagaimanapun telah dibersihkan oleh pihak kontraktor selepas Persatuan Penduduk Kampung Melayu FRIM itu menggantung kain rentang amaran serta DBKL mengeluarkan arahan supaya pihak terbabit menghentikan kegiatan mereka.

-- BERNAMA