JOHOR BAHRU: Pegawai dari Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah sebuah lori yang membawa minuman keras tanpa cukai dalam satu kejadian kejar mengejar di kawasan Iskandar Puteri di sini, semalam.

Insiden berkenaan berlaku susulan pemandu lori terbabit enggan berhenti  ketika ditahan sehingga melanggar kereta peronda MPV polis dalam kejadian pada jam 1.12 pagi itu.

Insiden tegang itu berlangsung kira-kira sejam dan sejauh 20 kilometer bermula dari Jalan Danga Bay hingga berjaya ditahan di Susur Tol Lima Kedai di sini.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan bantuan dari pegawai Kastam terbabit untuk menahan sebuah lori yang disyaki membawa muatan tidak bercukai.

Katanya tiga unit kereta peronda MPV diarah ke lokasi dan pemandu lori berusia 40an itu berjaya ditahan di Jalan Tuas Lima Kedai, di sini.

"Sebelum berjaya ditahan, lori tersebut telah melanggar sebuah kereta peronda MPV polis sehingga mengalami kerosakan pada bahagian belakang, tetapi tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

"Pemandu lori ditahan dan lori tersebut dengan muatan minuman keras itu dirampas.

"Semakan rekod lampau mendapati suspek mempungai dua rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah. Suspek direman 10 hari bermula hari ini hingga 1 Mei depan untuk tindakan lanjut," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini

Jelas Kamarul Zaman, pihaknya akan bekerjasama dengan JKDM dalam memastikan saki-baki ahli sindiket penyeludupan termasuk beberapa kumpulan 'tonto' dibenteras.

Katanya mereka ini telah mengancam keselamatan penguatkuasa dan perkara ini dianggap mencabar pihak berkuasa dalam melaksanakan tugas.

"Polis menyeru mana-mana pihak yang mempunyai maklumat boleh membantu siasatan ini agar menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Nur Fakhira Mat Radzi ditalian 017-2123370.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967, Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 39D Akta Senjata 1960 kerana menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan kewajibannya," katanya.

Sebelum itu, tular video berdurasi 1 minit 22 saat itu melihatkan kenderaan kastam  pada mulanya telah membunyikan siren bagi meminta lori berkenaan untuk berhenti.

Bagaimanapun secara tiba-tiba, lori tersebut berhenti secara mengejut di tengah jalan sebelum cuba mengundur dan melanggar kenderaan pihak berkuasa.

Video berkenaan turut menyaksikan anggota JDKM kemudian telah bertindak melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar lori berkenaan.

Lori itu bagaimanapun terus melarikan diri dan memandu secara melulu.