NILAI: Dua lelaki maut manakala seorang lagi terselamat apabila lori membawa muatan ayam yang dinaiki mereka terbabas sebelum terbakar dalam kemalangan di kilometer 283.6 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, dekat sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi, lori yang dalam perjalanan dari Seremban menghala ke Perak itu hilang kawalan sehingga melanggar besi penghadang kiri jalan sebelum terbabas melanggar tiang jejambat mengakibatkan ia terbakar.

Akibat kemalangan itu, pemandu lori, N. Vasutheven, 48, yang pada mulanya berjaya dikeluarkan orang awam bagaimanapun disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala.

Manakala kelindan lori, R. Mohan Raj, 28, tersepit di tempat duduk penumpang hadapan gagal dikeluarkan dan disahkan rentung.

Seorang lagi penumpang lori yang merupakan anak kepada pemandu, V. Dharshaan, 16, berjaya menyelamatkan diri sebelum lori berkenaan terbakar.

Menurut Mohd Fazley, remaja itu hanya mengalami kecederaan di kepala dan kaki dan dihantar ke wad kecemasan Hospital Tuanku Ja’afar (HJT) Seremban untuk rawatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.