KUALA LUMPUR : Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah berpuas hati dengan penjelasan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (LPPR), Tan Sri Azam Baki berhubung dakwaan beliau memiliki saham dengan jumlah yang melampau.

Pengerusinya, Tan Sri Abu Zahar Ujang  berkata, mesyuarat yang diadakan bersama Azam pada 24 November lalu mendapati beliau tidak ada sebarang kaitan dengan dakwaan itu.

“Dalam pertemuan itu, Tan Sri Azam telah menjelaskan kedudukan sebenar kepada saya dan ahli-ahli LPPR yang lain bahawa akaun saham beliau ketika itu digunakan oleh adiknya, Nasir Baki untuk membeli saham-saham berkaitan pada tahun 2015, yang mana beliau tidak mempunyai sebarang kepentingan pecuniary ataupun beneficial bagi pembelian mahupun pemilikan saham-saham berkenaan.

“Pada masa yang sama, pembelian saham-saham tersebut dibuat di pasaran saham terbuka dan tiada sebarang pencanggahan kepentingan bagi pembelian saham-saham berkenaan pada tahun 2015,” jelasnya.


SPRM | LPPR puas hati penjelasan Azam Baki

Mengulas lanjut, Abu Zahar menjelaskan, walau bagaimanapun, kesemua saham-saham tersebut telah dipindahkan semula kepada Nasir dalam tahun berkaitan.

“Setelah berbincang dengan panjang lebar, ahli-ahli LPPR berpendapat bahawa Tan Sri Azam tiada sebarang kepentingan pecuniary mahupun beneficial ke atas saham-saham berkenaan.

“Justeru, LPPR berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan dan mendapati tiada sebarang perlakuan jenayah atau conflict of interest dalam perkara tersebut,” jelasnya.


Azam Baki tiada kepentingan ke atas saham-saham yang didakwa

Beliau menambah, LPPR bercadang untuk memaklumkan perkara tersebut kepada masyarakat tetapi isu itu telah dibangkitkan terlebih dahulu oleh bekas ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) SPRM, Edmund Terence Gomez.

“Perkara ini (pendedahan Edmund) amat mengejutkan saya,” ujarnya.

Katanya sebegai seorang terpelajar dan ahli jawatankuasa PPPR, Edmund seharusnya tahu akan struktur dan tanggungjawab semua lima panel yang bebas memantau semua perjalanan Pentadbiran SPRM. 

"Oleh demikian, saya berpendapat dia mempunyai tiga pilihan untuk mengemukakan perkara-perkara yang beliau tidak puas hati kepada LPPR atau Jawatankuasa Aduan (JKA). 

"Justeru, saya percaya dan yakin bahawa masalah beliau musykilkan boleh diambil tindakan yang sewajarnya.  Kerana dalam semua ahli jawatankuasa tersebut tiada seorang pun pegawai-pegawai dari SPRM dan mereka boleh secara bebas membuat keputusan," ujarnya.