Skip to main content
Advertisement

Dunia

Harimau bintang salji bakal dibanci secara global menjelang akhir tahun

Harimau bintang salji disenaraikan sebagai spesies "Terdedah" dalam Senarai Merah IUCN di peringkat global, yang menunjukkan spesies itu berdepan risiko kepupusan yang tinggi di habitat liar. - Gambar Adobe Stock
Harimau bintang salji disenaraikan sebagai spesies "Terdedah" dalam Senarai Merah IUCN di peringkat global, yang menunjukkan spesies itu berdepan risiko kepupusan yang tinggi di habitat liar. - Gambar Adobe Stock

Advertisement

PHNOM PENH: Harimau bintang salji yang dikenali sebagai "hantu pergunungan" sejak beberapa dekad lalu sukar untuk dibanci kerana sifatnya yang sukar dikesan.

Bagaimanapun, pakar pemuliharaan kini berharap dapat menerbitkan anggaran populasi global pertama menggunakan kaedah seragam menjelang akhir tahun ini, bagi menggantikan anggaran sedia ada yang berbeza-beza, dengan jumlah keseluruhan dianggarkan kurang daripada 10,000 ekor.

Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN) menganggarkan populasi spesies itu antara 2,710 hingga 3,380 ekor, manakala Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) menganggarkan antara 4,000 hingga 6,500 ekor masih hidup di habitat liar.

Saintis di bawah Program Perlindungan Ekosistem dan Harimau Bintang Salji Global (GSLEP) kini sedang memuktamadkan anggaran populasi menggunakan kaedah seragam yang dikenali sebagai metodologi Penilaian Populasi Harimau Bintang Salji Dunia.

"Pasukan kami sedang giat menjalankan usaha untuk mendapatkan angka berkenaan dan kami berharap dapat menyediakan anggaran yang lebih dipercayai serta boleh dihasilkan semula menggunakan kaedah yang sama menjelang akhir tahun ini," kata Penyelaras Antarabangsa GSLEP Dr Koustubh Sharma kepada Bernama.

Menurut pakar hidupan liar, harimau bintang salji yang mempunyai corak tompok berbentuk roset serta bulu tebal berwarna kelabu keperakan berkeliaran di beberapa banjaran gunung tertinggi di dunia, sekali gus menyukarkan usaha untuk membanci populasinya.

"Harimau bintang salji mendiami kawasan pergunungan terpencil, berbatu-batan dan sukar diakses. Selain itu, haiwan ini hidup bersendirian dan secara semula jadi mempunyai kepadatan populasi yang rendah, menyebabkan ia jarang dapat dilihat secara langsung atau dirakam menggunakan perangkap kamera.

"Cabaran ini bertambah rumit kerana spesies berkenaan tersebar di kawasan geografi yang amat luas, sekali gus menyukarkan usaha untuk menjalankan bancian secara menyeluruh," kata Sharma yang juga Pengarah Perkongsian Global di International Snow Leopard Trust.

Kucing besar yang bergerak secara senyap dan tangkas di kawasan pergunungan itu diraikan pada 23 Okt sempena Hari Harimau Bintang Salji Antarabangsa, ketika ahli pemuliharaan terus gigih menjalankan usaha mencabar untuk melindungi spesies berkenaan.

Harimau bintang salji disenaraikan sebagai spesies "Terdedah" dalam Senarai Merah IUCN di peringkat global, yang menunjukkan spesies itu berdepan risiko kepupusan yang tinggi di habitat liar.

Spesies itu ditemukan di 12 negara iaitu Afghanistan, Bhutan, China, India, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Mongolia, Nepal, Pakistan, Rusia, Tajikistan dan Uzbekistan.

Dengan berat antara 33 hingga 46 kilogram dan panjang badan kira-kira 1.2 meter, harimau bintang salji mampu menyesuaikan diri dengan mudah dalam keadaan musim sejuk yang melampau serta persekitaran tanah tinggi.

Walaupun hidup bersendirian dan mendiami kawasan terpencil, kelangsungan hidup spesies itu terus terancam akibat perubahan iklim, perdagangan hidupan liar secara haram, pembunuhan sebagai tindakan balas oleh penternak yang kehilangan ternakan serta pengurangan haiwan mangsa akibat musim sejuk yang teruk atau aktiviti pemburuan tidak mampan.

"Kita mesti menjadikan pemuliharaan biodiversiti, khususnya perlindungan ekosistem pergunungan tinggi yang rapuh di seluruh Asia Tengah dan Asia Selatan, sebagai sebahagian daripada agenda utama pembangunan, bukannya menganggap kedua-duanya saling bercanggah.

"Kawasan ini menyediakan perkhidmatan ekosistem penting yang menyokong kehidupan jutaan manusia. Pemuliharaan bukanlah usaha yang boleh dianggap sebagai pilihan semata-mata, sebaliknya amat penting untuk kelangsungan hidup dan kualiti kehidupan kita bersama," katanya.

India dianggarkan mempunyai 718 ekor harimau bintang salji, manakala populasi di Nepal dianggarkan kira-kira 397 ekor, menurut penilaian populasi peringkat kebangsaan yang masing-masing diterbitkan pada 2024 dan 2025.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement