KUANTAN: Loji Rawatan Air (LRA) Karak yang dihenti tugas akibat banjir sejak Sabtu lepas dijadual kembali beroperasi malam esok, kata Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) Saiful Zaini Mohd Bokhari.

Beliau berkata sebanyak 3,857 akaun pengguna terkesan akibat penutupan loji itu yang disebabkan kerosakan peralatan mekanikal dan elektrikal akibat peningkatan paras air sungai selain masalah paip utama pecah dan terputus bekalan elektrik.

"Kerja pembaikan segera dilakukan PAIP dengan dibantu 18 anggota Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD). Pengguna dijangka menerima air secara berperingkat dalam tempoh 24 hingga 48 jam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Saiful Zaini berkata 51 tangki statik ditempatkan di lokasi pusat pemindahan sementara (PPS) selain enam lori tangki dan tiga lori tangki jumbo digerakkan bagi membekalkan air kepada pengguna dan premis yang terjejas sepanjang penutupan LRA tersebut.

Bantuan penghantaran air itu juga mendapat kerjasama Syarikat Air Johor (SAJ), Lembaga Air Perak (LAP) dan badan bukan kerajaan (NGO).

Orang ramai boleh melayari laman sesawang www.paip.com.my atau menghubungi pusat khidmat pelanggan di 09-573 9999 bagi maklumat lanjut dan aduan.

-- BERNAMA