NATIONAL
LRT bertembung: Anggota bomba alami kesukaran keluarkan mangsa

Pasukan bomba mengalami kesukaran ketika mengeluarkan mangsa kejadian tren bertembung berhampiran Stesen KLCC pada Isnin. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pasukan bomba mengalami kesukaran ketika mengeluarkan mangsa kejadian tren bertembung berhampiran Stesen KLCC pada Isnin.
Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kuala Lumpur (JBPMKL) Nordin Pauzi, lokasi kejadian yang berada di dalam terowong menyukarkan kerja-kerja menyelamat dijalankan.
“JBPM telah tiba di lokasi pada jam 8.45 malam... disebabkan berlaku di terowong, jadi laluan sempit, dan risiko memang ada. Risau (berlaku pintasan) elektrik.
“Banyak masa diambil untuk proses evakuasi mengeluarkan mangsa,” jelasnya ketika ditemui media sebentar tadi.
Jelasnya, lokasi tren bertembung berlaku kira-kira 100 meter dari Stesen KLCC.
“Memandangkan dari rel sebenar lebih kurang 100 meter dari stesen, jadi perjalanan dalam keadaan kecederaan terpaksa dibuat secara berhati hati.
“Kita banyak ambulans dari pelbagai agensi, bersilih ganti bawa penumpang cedera,” katanya lagi.
Malah, katanya ketika tiba di lokasi kejadian, pasukan menyelamat mendapati ada pintu tren yang telah terbuka serta cermin pecah akibat pertembungan itu.
“Tren ini bertembung, kita lihat apabila anggota bomba tiba, ada pintu-pintu yang telah terbuka, mangsa-mangsa iaitu penumpang yang tidak cedera cuba keluar sendiri,” katanya.
Dalam kejadian jam 8.33 malam itu, 47 penumpang cedera parah manakala 166 lagi mengalami kecederaan ringan selepas tren dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lagi tren.
Siasatan awal mendapati kemalangan melibatkan tren bernombor 40 dan 81.
Anggota penyelamat bagaimanapun berjaya mengeluarkan kesemua mangsa dan mereka dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami