PETALING JAYA: Rapid KL melaporkan tiada gangguan perkhidmatan berlaku di Laluan Kelana Jaya pada pagi Jumaat susulan beberapa hantaran di platform media sosial yang mendakwa sedemikian.
Pengendali perkhidmatan rel itu memaklumkan tren beroperasi mengikut jadual waktu puncak yang telah ditetapkan dan tiada kesesakan luar biasa dilaporkan di stesen mahupun di dalam tren.
Advertisement
Dalam pada itu, Rapid KL turut memberikan penjelasan lanjut tentang kekeliruan masyarakat berhubung kemas kini menerusi saluran rasminya yang menyatakan terdapat beberapa tren dikeluarkan daripada perkhidmatan.
"Pengeluaran tren daripada perkhidmatan merupakan prosedur operasi dan keselamatan standard. Tren mungkin dikeluarkan sementara bagi tujuan pembaikan kecil, termasuk isu prestasi penyaman udara atau sistem lain di dalam tren.
"Sekiranya sesebuah tren dikeluarkan daripada perkhidmatan, langkah mitigasi akan dilaksanakan termasuk menggerakkan tren gantian sekiranya perlu.
"Ini memastikan selang masa (headway) kekal pada kekerapan waktu puncak dan kebolehpercayaan perkhidmatan tidak terjejas,” menurut kenyataan Rapid KL, pada Jumaat.
Jelas Rapid KL, langkah berkenaan diambil bagi memastikan keselesaan, keselamatan dan kualiti perkhidmatan kepada penumpang sentiasa terpelihara.
"Kemas kini oleh Rapid KL ini sebahagian daripada usaha ketelusan proaktif pihak operator bagi memastikan penumpang sentiasa dimaklumkan mengenai pelarasan operasi secara masa nyata.
"Namun ketelusan operasi tidak seharusnya ditafsirkan sebagai gangguan perkhidmatan.
"Kami komited untuk memastikan operasi yang selamat, boleh dipercayai dan cekap, di samping terus menyalurkan maklumat tepat melalui saluran komunikasi rasmi kami,” tambah Rapid KL.