Skip to main content

Malaysia

LRT tergelincir stesen Chan Sow Lin: Laporan siasatan pasukan khas siap dalam 30 hari - Anthony Loke

 Anthony LRT
Anthony berkata, Kementerian Pengangkutan telah menubuhkan satu pasukan petugas khas yang bebas daripada Prasarana Malaysia Berhad bagi menyiasat punca kejadian. - Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Laporan siasatan berhubung insiden tren LRT tergelincir di Stesen Chan Sow Lin awal pagi semalam dijangka siap dalam tempoh 30 hari.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, Kementerian Pengangkutan telah menubuhkan satu pasukan petugas khas yang bebas daripada Prasarana Malaysia Berhad bagi menyiasat punca kejadian.

“Pasukan ini tidak melibatkan wakil Prasarana. Ia ditubuhkan untuk menyiasat secara bebas sama ada insiden ini berpunca daripada kecuaian manusia, kerosakan sistem atau kegagalan teknikal,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas meninjau lokasi terjejas di landasan LRT Chan Sow Lin pada Jumaat.

Beliau menjelaskan, pasukan tersebut akan diketuai oleh Ketua Inspektor Kemalangan Udara di Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU), Brigadier General Tan Chee Kee (TUDM) di Kementerian Pengangkutan, yang berpengalaman mengetuai beberapa siasatan kemalangan sebelum ini.

“Kita juga akan mendapatkan kepakaran daripada pakar luar termasuk Rio Engineering untuk bersama dalam pasukan ini,” katanya.

Menurut beliau, terma rujukan dan keahlian pasukan petugas khas itu akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Laporan akhir akan dikemukakan kepada Jemaah Menteri dan turut dihebahkan kepada umum sebagai langkah ketelusan,” katanya.

Dalam pada itu, Anthony berkata APAD akan membuka kertas siasatan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

“Pasukan petugas khas ini bukan untuk mencari salah siapa, tetapi untuk mengenal pasti punca kejadian. Sebarang tindakan punitif akan ditentukan oleh APAD selepas siasatan selesai,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menegaskan tidak mahu membuat sebarang kesimpulan awal kerana siasatan baru sahaja bermula.

“Saya tidak mahu berlaku tidak adil kepada mana-mana pihak. Sama ada ia berpunca daripada kecuaian atau kegagalan sistem, ia hanya boleh ditentukan melalui siasatan menyeluruh,” katanya.

Anthony turut memaklumkan bahawa beliau akan berbincang dengan pengerusi Prasarana mengenai kemungkinan melaksanakan audit dalaman menyeluruh terhadap sistem LRT dan MRT di bawah kendalian syarikat itu.

“Apa-apa dapatan dan cadangan akan dimasukkan dalam laporan akhir untuk tindakan susulan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberi jaminan bahawa operasi tren dan stesen yang terjejas akan kembali aktif menjelang 3 Jun (Rabu).

 

 

Must Watch Video

Advertisement