KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang merupakan salah satu pemegang saham Boustead Naval Shipyard (BNS) akan terus mengambil langkah konkrit bagi memastikan pelaksanaan projek Littoral Combat Ship (LCS) melalui proses yang telus.

Menurut Ketua Eksekutif LTAT, Datuk Nazim Rahman, terdapat dua peristiwa dan keputusan penting yang berlaku dalam tempoh dua minggu lalu yang memberi momentum positif kepada projek LCS.

Antaranya adalah berkenaan komitmen kerajaan Perancis melalui surat kepada Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammudidin Tun Hussein.

“Rundingan semula dengan syarikat-syarikat ini adalah proses yang rumit dan memerlukan penglibatan hubungan antara kerajaan (G2G).

“Justeru itu, pernyataan sokongan bahawa kejayaan projek ini menjadi keutamaan Kerajaan Perancis menandakan bahawa kesemua pihak berkepentingan kini berpadu usaha untuk memastikan LCS disiapkan,” kata beliau dalam satu kenyataan pada Khamis.

Perkara kedua, ujar beliau adalah melibatkan keputusan Lembaga Pengarah BNS untuk membatalkan surat anugerah kontrak kepada syarikat Contraves Advance Devices (CAD) dan Contraves Electrodynamics (CED) bernilai RM3.4 bilion.

“Kedua-duanya adalah syarikat ‘orang tengah’ yang kini sedang disiasat atas pelbagai dakwaan rasuah dan perlanggaran undang-undang.

“Keputusan ini akan membolehkan BNS berunding secara terus dengan syarikat-syarikat pengeluar sekali gus mengurangkan kos pembinaan keseluruhan," tambah beliau.

BACA: Projek LCS: Gadai pertahanan negara, itu satu penderhakaan - Mukhriz

BACA: Projek LCS: 'Tidak wajar kaitkan kegagalan perolehan kepada saya' - Zahid Hamid

BACA: "LCS bukan projek halimunan, tidak dibuat dari kayu" - BNS tunjuk bukti kemajuan pembinaan

BACA: Isu LCS: Kenapa projek lari jauh dari tarikh siap? - Wan Saiful


Keputusan projek ini juga kata beliau merupakan komitmen BNS untuk meneruskan projek LCS tanpa diselubungi oleh tindakan-tindakan korporat (corporate actions) yang meragukan seperti sebelum ini.

Naval Group, sebuah syarikat pegangan Kerajaan Perancis adalah syarikat yang mereka-bentuk kapal LCS dan merupakan payung utama di kalangan 43 syarikat Eropah yang terlibat dalam projek tersebut.