KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir mendakwa tindakan pemimpin UMNO sebagai menderhaka kerana sanggup menggadaikan pertahanan negara susulan kegagalan perolehan kapal tempur pesisir (LCS) yang telah menelan kos lebih RM6 bilion.

Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu berkata, dana yang diperuntukkan itu sepatutnya digunakan untuk pertahanan negara, dan bukan kepentingan peribadi.

"Lebih menjengkelkan ialah dana berbilion itu sepatutnya dibelanjakan untuk pertahanan negara, ada juga pemimpin UMNO yang sanggup gadaikan pertahanan perairan negara ini demi kepentingan peribadi.

"Apa punya manusia yang sanggup buat begini, menderhaka namanya," katanya dalam rakaman video yang dimuat naik di laman sosial pada Ahad.

BACA: Laporan PAC: Bayaran perolehan kapal tempur pesisir tidak digunakan sepenuhnya

Khamis lalu, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengumumkan sembilan rumusannya sebagai punca kepincangan projek LCS bernilai RM9 bilion.

Melalui laporan berkenaan, kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima kapal LCS kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) bagi projek runding terus itu, namun tiada kapal diterima setakat ini.

Laporan PAC turut mendedahkan BNS tidak menggunakan sepenuhnya bayaran yang diterima daripada kerajaan untuk projek tersebut, menyebabkan syarikat itu menghadapi 'cost overrun' sebanyak RM1.4005 bilion.

Selain itu, Kementerian Pertahanan (MinDef) dan BNS juga didapati mengabaikan pandangan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selaku pengguna akhir.

Mengulas lanjut, bekas Menteri Besar Kedah itu mempersoalkan apakah Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Pertahanan ketika itu, Datuk Seri Ahmad Zahid ketika itu menerima 'bahagian' mereka dalam projek tersebut.

Beliau turut menyifatkan, pendedahan mengenai RM6.08 bilion yang habis dibelanjakan untuk membina kapal LCS tanpa satu pun yang siap, sebagai sangat mengejutkan.

"Mengecewakan bukan hanya kapal yang tak siap, walaupun sudah berbilion dibelanja tetapi berkenaan teguran demi teguran yang dibuat oleh Panglima Tentera Laut ketika itu, Tan Sri Abdul Aziz tidak siapa, pun baik menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid hamidi, mahupun Perdana ketika itu, Datuk Seri Najib Razak, yang mendengar aduan beliau.

"Adakah mereka juga mendapat bahagian mereka dari wang yang hilang?," soal Mukhriz.

Dalam masa yang sama, beliau berkata projek perolehan LCS itu satu lagi skandal yang disifatkan mirip 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan berpunca daripada pemimpin-pemimpin UMNO.

"Tolak penderhaka negara," katanya lagi.

Terdahulu, Ahmad Zahid berkata adalah tidak wajar menuding kepadanya berkait isu kegagalan perolehan LCS kerana mendakwa belum menjawat sebagai Menteri Pertahanan ketika projek itu diberikan.