KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) akan mematuhi keputusan Kementerian Kewangan mengenai pembayaran caruman kerajaan susulan penemuan dalam Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2021 (LKAN) dikeluarkan semalam.

Dana itu menjelaskan semua caruman kerajaan, termasuk yang dibuat sejak 2018 hingga 2020 daripada 9,542 pencarum pencen LTAT berjumlah RM695.05 juta telah dikembalikan kepada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).

Menurutnya, ia adalah berdasarkan kepada surat yang diterima daripada KWAP sejak penubuhannya pada 2007.

Ini kerana katanya, dengan penubuhan KWAP bererti semua kuasa, fungsi, aktiviti, aset dan liabiliti Kumpulan Wang Amanah Pencen telah diberikan kepada KWAP.

"Namun begitu, LTAT memohon panduan daripada Kementerian Kewangan berkenaan sebarang pembayaran caruman kerajaan pada masa hadapan.

"Ini memandangkan kedua-dua KWAP dan Kumpulan Wang Disatukan adalah entiti kerajaan di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Berdasarkan LKAN yang dikeluarkan itu, LTAT tidak memulangkan caruman kerajaan berjumlah RM695.05 juta kepada Kumpulan Wang Disatukan seperti yang dinyatakan dalam perenggan 9(3)© Akta 101.

Tetapi, semakan audit mendapati LTAT telah memulangkan caruman kerajaan itu yang membabitkan 9,542 pencarum berstatus pencen bagi 2018 hingga 2020 kepada KWAP.

Caruman kerajaan ini sepatutnya dipulangkan kepada kepada Kumpulan Wang Disatukan seperti yang dinyatakan dalam perenggan 9(3)© Akta 101.

Perenggan 9(3)© Akta 101 Akta 101 menyatakan dengan jelas bahawa caruman perlu dipulangkan kepada Kumpulan Wang Disatukan, iaitu akaun Kerajaan Persekutuan.

Kesan daripada tindakan LTAT tidak memulangkan caruman kepada Kumpulan Wang Disatukan itu telah menyebabkan hasil Kerajaan Persekutuan berkurangan sebanyak RM695.05 juta bagi tahun 2018 hingga 2020.

LTAT berkata, sejak penubuhannya pada 1973, semua caruman kerajaan sentiasa dikembalikan kepada Kumpulan Wang Amanah Pencen. - DagangNews.com