KUALA LUMPUR: Graduan lulusan intitusi pengajian tinggi tempatan tidak usah rasa rendah diri untuk tampil ke depan dalam alam pekerjaan.

Ketua Pegawai Operasi Malaysia Venture Capital Management Bhd (MAVCAP), Noor Amy Ismail menegaskan, kualiti seseorang graduan itu tidak bergantung kepada sama ada dia menuntut di institut pengajian tinggi (IPT) dalam negara mahupun luar.

Katanya, graduan tempatan juga sebenarnya layak untuk bukan sahaja mendapat pekerjaan yang dimahukan, malah sewajarnya dibayar dengan gaji yang lebih bermaruah berdasarkan kelulusan dan kemahiran mereka.

“Kami menemu duga ramai orang yang mahu mencari pekerjaan dan saya mahu katakan, jangan kata “oh saya sebenarnya dari universiti tempatan”.

“Kita menghasilkan graduan yang berkualiti bagus, ramai pelajar IPT tempatan yang bekerja di London dan mereka misalnya boleh bertutur dalam bahasa Inggeris dengan sangat baik walaupun duduk dan belajar di sini,” katanya dalam program Dialog Tiga Penjuru pada Khamis.

Noor Amy berkata, negara sebenarnya mempunyai ramai bakat tetapi kurang dihargai dan dicari, menyebabkan ramai yang berhijrah ke tempat yang lebih menghargai mereka.

Dalam masa sama, katanya, sudah sampai waktunya untuk majikan tidak lagi terikat melihat kelulusan konvensional untuk mengambil dan menggaji pekerja, ketika dunia hari ini menyediakan pelbagai program pengajian dan latihan secara terbuka secara alternatif.

“Kita lihat di internet, ada banyak latihan percuma atau berbayar secara atas talian jadi kita patut fikir yang kita boleh menerima kelulusan tersebut," kata Noor Amy lagi.

Lulusan universiti tempatan jangan rendah diri - Amy Ismail