KUCHING: Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg memberi bayangan Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN-12) tidak mungkin diadakan dalam masa terdekat.

Jelas Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu tumpuan kerajaan negeri ketika ini terarah kepada usaha menyelamatkan nyawa rakyat dengan mempergiatkan program vaksinasi COVID-19.

“Musim ini tiada pilihan raya, sebaliknya kita fokus kepada vaksin.

“Yang penting rakyat selamat, kita tidak fokus pilihan raya, rakyat diutamakan” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Klinik Kesihatan Jalan Masjid Di Dewan MAJMA di Kuching pada Khamis.

Kenyataan Abang Johari itu sebagai reaksi kepada soalan mengenai kemungkinan PRN-12 akan diadakan selepas sasaran 80 peratus imuniti kelompok dicapai pada Ogos nanti.

Dewan Undangan Negeri Sarawak sepatutnya dibubarkan pada 7 Jun lalu namun proses itu tidak dapat dilaksanakan kerana tertakluk kepada Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.

Bagaimanapun proses pilihan raya boleh diadakan dalam tempoh 60 hari sekiranya DUN dibubarkan selepas perintah darurat tamat pada 1 Ogos depan.

BACA: DUN Sarawak: Pembubaran digantung sehingga tamat darurat - Speaker

B
ACA: DUN Sarawak: Status ADUN kekal