KUALA LUMPUR: Luruan monsun yang sedang melanda negara ketika ini dijangka berakhir esok, kata Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Dalam satu kenyataan di Twitter hari ini, MetMalaysia memaklumkan, susulan itu cuaca di Semenanjung diramal bertambah baik bermula Rabu ini.

"Namun, pembentukan awan hujan aktif di Laut China Selatan dan Laut Sulu masih berpotensi menyebabkan hujan berterusan di utara Sabah, Pantai Timur dan selatan Semenanjung.

“Dalam pada itu, tempat-tempat lain dijangka mengalami keadaan cuaca ribut petir pada sebelah petang hingga malam.

“Selain itu, amaran hujan berterusan pada peringkat buruk dan waspada di negeri Pahang, Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Terengganu dan Sabah telah dikemas kini sehingga Selasa.

“Manakala amaran angin kencang dan laut bergelora untuk kategori pertama, kedua dan ketiga juga telah dikeluarkan bagi perairan Pantai Timur Semenanjung termasuk timur Johor, Sarawak dan Sabah diramal berterusan sehingga Selasa,” jelas kenyataan itu.

[LAPOR LANGSUNG] Paras sungai tahap bahaya, penduduk di lima negeri diminta waspada

Sementara itu, sebanyak 28 daerah di negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Negeri Sembilan, Selangor dan Sabah masih terjejas banjir dengan 14,216 mangsa masih berlindung di 182 pusat pemindahan sementara (PPS).

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam kemas kini terbaharu berkata, sejumlah 803 PPS sudah ditutup dengan 119,380 mangsa telah pulang ke rumah masing-masing.

Sehingga jam 4 petang ini, operasi banjir seluruh negara melibatkan 15,075 orang anggota menggunakan 2,242 gabungan aset pelbagai agensi.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah mengedarkan 532,712 pek makanan berbungkus termasuk keperluan asas kepada mangsa-mangsa yang terkesan banjir, “ kenyataan itu menyebut.

Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) pula melaporkan pertambahan enam lokasi kejadian tanah runtuh direkodkan melibatkan Negeri Sembilan, Johor dan Sabah, setakat jam 10 pagi tadi.