Skip to main content

Malaysia

MA63: Komitmen, tanggungjawab kekal relevan - Armizan

[TB]_Armizan Mohd Ali Hari Malaysia_FB Armizan Mohd Ali
Armizan berkata MA63 terus hidup dan kekal mengikat, tanpa memerlukan perjanjian baharu untuk menjamin hak serta tanggungjawab semua pihak. - Foto Facebook/Armizan Mohd Ali
Advertisement

KOTA KINABALU: Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak ternoktah sebaik tergubal Perlembagaan Persekutuan, sebaliknya terus hidup manakala komitmen serta tanggungjawab yang ditetapkan kekal relevan serta mengikat, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.

Beliau menyeru semua pihak bersama-sama memahami nilai dan makna Hari Malaysia dengan menerima kewujudan satu daripada terma perjanjian yang dimeterai para pendiri tanah air iaitu Artikel VIII, MA63.

“Terma ini adalah penegasan kepada komitmen dan tanggungjawab semua pihak yang bersetuju memeterai perjanjian bagi membentuk sebuah Persekutuan Malaysia,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berkata Malaysia yang dibentuk pada 1963 kini mencapai usia 63 tahun manakala tarikh 16 Sept hanya mula diangkat sebagai detik penting dalam kalendar rasmi nasional dan disambut sebagai Hari Malaysia mulai 2010.

Katanya kesedaran dan pemahaman terhadap sejarah pembentukan negara bukan sekadar melibatkan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, kontrak sosial antara tiga kaum utama dan kemerdekaan Tanah Melayu pada 1957, malah juga menuntut penerimaan sepenuhnya terhadap MA63 sebagai “sijil lahir” Persekutuan Malaysia.

Armizan berkata Malaysia tidak memerlukan perjanjian baharu atau yang disebutkan sebagai new deal oleh sesetengah pihak.

“Ini kerana hakikatnya terma-terma perjanjian secara tersurat menzahirkan MA63 itu tidak akan ternoktah sebaik tergubalnya Perlembagaan Persekutuan.

“MA63 itu terus hidup dan komitmen serta tanggungjawab yang digariskan itu kekal relevan dan mengikat dulu, kini dan selamanya,” katanya.

Beliau turut berharap Malaysia terus menjadi negara yang lebih utuh dan maju, di samping makmur serta selamat untuk seluruh rakyat.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement