Sebanyak 111 kes penipuan telekomunikasi atau Macau Scam dengan jumlah kerugian bernilai RM2,364,771.55 dilaporkan berlaku di negeri ini sepanjang tahun lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Rosli Ab Rahman berkata, jumlah itu adalah peningkatan 400 peratus berbanding 2016 yang mencatatkan hanya 21 kes.

"Bagi jumlah kerugian kes Macau Scam pula, pada tahun 2016, sebanyak RM360,313.30 dicatatkan dan peningkatan sejumlah RM2,364,771.55 atau peningkatan sebanyak 656.3 peratus pada tahun lalu.

"Antara daerah yang mencatatkan peningkatan yang agak ketara adalah daerah Kuantan diikuti Bentong dan Temerloh manakala daerah lain tidak berlaku peningkatan yang serius.

"Statistik tangkapan melibatkan Macau Scam di Kontinjen Pahang berlaku peningkatan yang agak ketara iaitu sebanyak 64 tangkapan bersamaan 418.2 peratus pada tahun 2017 berbanding tahun sebelumnya iaitu hanya 11 tangkapan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Bagi Bulan Januari 2018 Polis Kontinjen Pahang di Perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang di sini, hari ini.

BACA: Macau Scam: Baca ini kalau tak nak ditipu!

Katanya, usaha menyedarkan masyarakat mengenai jenayah Macau Scam tidak akan berhasil jika hanya PDRM sahaja yang bertungkus lumus menyedarkan masyarakat sedangkan tidak mendapat sokongan dan sambutan daripada masyarakat itu sendiri.

"Secara keseluruhannya jenayah Macau Scam di Kontinjen Pahang agak ketara pada tahun 2017, namun polis khususnya Jabatan Siasatan Jenayah Komersial sentiasa berusaha membanteras jenayah ini," katanya.

Beliau berkata, walaupun ramai sudah tahu mengenai Macau Scam ini, tetapi kami masih lagi menerima laporan daripada mangsa yang telah diperdaya.

"Oleh itu, saya berharap agar masyarakat lebih berhati- hati dan jangan panik, sebaliknya membuat laporan kepada pihak polis dan insitusi yang terbabit untuj pengesahan lanjut," katanya.