KUALA LUMPUR:Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan, antara modus operandi sindiket Macau Scam adalah dengan menjadi pelabur wang tunai dalam syarikat milik ahli perniagaan selain menjadi pemegang saham syarikat berkenaan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, selain itu, sindiket terbabit turut dipercayai melaburkan wang hasil kegiatan haram itu kepada syarikat pinjaman wang berlesen atau 'Ah Long' dan sindiket judi haram sebagai usaha membersihkan wang itu.

Ini kerana, jelas beliau, keuntungan hasil pelaburan di syarikat tersebut akan diterima semula sindiket berkenaan.

"Dalam siasatan ini, modus operandi yang digunakan sindiket adalah dengan mewujudkan beratus syarikat untuk disalurkan dana untuk tujuan mencuci wang yang diperoleh sindiket.

"Mereka beri wang tunai dan ada dalam keadaan tertentu mereka menjadi pemilik saham bagi mendapatkan bayaran balik pelaburan itu.

"Sekiranya kita lihat cara mereka (melabur dalam syarikat), ia nampak halal tetapi dana itu sebenarnya hasil penipuan terhadap ramai rakyat Malaysia," katanya dalam temu bual secara langsung menerusi slot 'SPRM 360' di MACCfm di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut, Azam turut mendedahkan, sindiket itu juga akan mewujudkan beratus-ratus syarikat 'dummy' (tidak wujud) dalam proses mengubah wang haram terbabit.



Sehubungan itu, beliau meminta pihak yang mempunyai maklumat dalam isu berkenaan untuk tampil atau menghubungi SPRM untuk dijadikan saksi penting kes berkenaan.

"Sekiranya beri maklumat, keselamatan mereka akan dijamin sepenuhnya mengikut Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010. Undang-undang negara akan melindungi identiti mereka ini," katanya.

Azam memberitahu, mereka yang ingin menyalurkan maklumat boleh menghubungi pegawai SPRM itu PPj Asrul di talian 019-3126020; PPj Rohaizi (013-9400200) dan Psk Sabri (017-2582415).