KUALA LUMPUR : Pusat bagi Memerangi Rasuah dan Kronisme (Pusat C4) mendesak agar siasatan bebas dijalankan ke atas peristiwa membimbangkan baru-baru ini yang melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pegawai-pegawainya.

Kes pencurian wang bukti bernilai RM25 juta yang dirampas dari bekas ketua perisik Hasanah Abdul Hamid oleh tiga pegawai SPRM dan dakwaan penglibatan salah satu daripada mereka dalam pengedaran dadah telah mengejut dan membangkitkan kemarahan rakyat Malaysia.

Kejadian ini telah merosakkan, secara menyeluruh, kepercayaan rakyat terhadap sebuah institusi awam yang sepatutnya bertindak bebas untuk melawan gejala rasuah di dalam negara.

Sepertimana kita sedia maklum, pengedaraan dadah merupakan kesalahan yang membawa hukuman mati.

Apabila sebuah institusi ‘bebas’ seperti ini yang ditugaskan untuk menyiasat jenayah kewangan terlibat dalam jenayah serius yang boleh membawa hukuman yang berat, ia menunjukkan bahawa negara kita menghadapi satu masalah sistemik yang serius.

Saga terbaharu yang melibatkan SPRM ini merupakan satu ancaman besar terhadap keselamatan negara, terutamanya jika pencegah rasuah ini sendiri berkecimpung dalam dunia kongsi gelap dan aktiviti haram mereka.

Dua pegawai SPRM telah didakwa di mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Oktober 21 atas pertuduhan menipu seorang penguatkuasa untuk menyerahkan RM40,000 bagi menyelesaikan kesnya yang disiasat agensi berkenaan.

Tertuduh pertama yang mengaku bersalah merupakan Penolong Penguasa SPRM Kluang!

Rakaman yang menangkap saat ketika dua pegawai ini melarikan diri di luar mahkamah ke kereta yang menunggu merupakan satu gambaran yang mengejut dan memalukan — lebih aneh daripada sebuah rancangan Netflix.

Pada April lalu, dua pegawai SPRM lain telah ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) kerana dipercayai terlibat dengan kumpulan jenayah terancang Geng Nicky, tapi kemudian dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu bukti yang cukup daripada pendakwa raya.

Perjuangan bagi menentang rasuah kini dibelenggu kejadian seperti ini yang melibatkan pegawai SPRM. Penyiasatan dalaman mereka pasti tidak akan dapat menyelesaikan isu ini.

Usaha serius diperlukan untuk menyelesaikan masalah ini dengan segera.

Pusat C4 menggesa agar:

1. Satu penyiasatan bebas dijalankan dengan segera dan melibatkan pakar jenayah kewangan di luar SPRM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang tidak ada apa-apa kaitan dengan kedua-dua institusi ini;

2. Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NAFCC) mengetuai siasatan bebas ke dalam peningkatan kes rasuah di SPRM yang melibatkan pegawai mereka;

3. Penyiasatan dan pendakwaan dijalankan secepat mungkin bagi mengelakkan kejadian seperti ini;

4. Menteri Undang-Undang Wan Junaidi mengutamakan rombakan dan perubahan di dalam SPRM (berpandukan memorandum bersama kami dan Malaysian Bar pada tahun 2015), serta penyusunan semula SPRM dengan segera bagi menjamin kebebasannya. Kami lampirkan pautan ke Memorandum berkenaan di sini: https://c4center.org/memorandum-reform-macc/; dan

5. Lembaga Penasihat SPRM memastikan tanggungjawab badan kepimpinannya dan berikan kerjasama penuh terhadap siasatan bebas ini.

Perubahan ini perlu dijalankan secepat mungkin dan pihak kerajaan yang telah menjanjikan perubahan demi kestabilan politik harus mementingkan kebebasan dan autonomi SPRM.

Masalah ini perlu diselesaikan segera agar negara kita tidak terus dibelenggu oleh bencana rasuah.



Dikeluarkan oleh:
Pusat bagi Memerangi Rasuah dan Kronisme (Pusat C4)
Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi 012-379 2189 / 03-7660 5140