MELAKA: Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA) pada Ahad mengesahkan pihaknya telah membuat rayuan kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi membolehkan pasukan itu beraksi dalam saingan Liga Super musim depan.

Presiden MAFA, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, menerusi barisan kepimpinan MAFA yang baharu dilantik, badan induk bola sepak negeri itu juga akan mempersiap kerangka terbaik bagi memulihkan sukan tersebut di Melaka dan mengembalikan zaman kegemilangannya dalam saingan utama dalam negara.

"Menjelang ulang tahun ke-100 MAFA, ia menjadi objektif kita untuk kembali beraksi di Liga Super menerusi rundingan bersama pihak berkenaan namun bergantung kepada kelulusan dan syarat yang diletakkan pentadbir Liga Malaysia itu.

"Namun di peringkat kita, MAFA akan mencari rakan kongsi terbaik dan diharap ia dapat merealisasikan misi kita pada musim depan," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Kongres MAFA ke-67 di Banda Hilir, di sini.

Timbalan Presiden MAFA, Datuk Mohd Saiful Mat Sapri pula berkata, keputusan mengenai usaha itu akan diketahui dalam tempoh terdekat dan diumum kemudian.

Beliau berkata, pihaknya akan membawa perkara itu dalam mesyuarat Exco untuk mencapai kata putus dan memperhalusi segala syarat serta peraturan yang ditetapkan.

Mohd Saiful berkata, sekiranya perkara itu menjadi kenyataan, antara isu lain yang akan dibincang ialah penggunaan nama dan pasukan sama atau berbeza selain memperketat dan mengenal pasti perjanjian dengan mana-mana pihak supaya perkara sebelum ini tidak berulang sehingga Melaka FC gagal beraksi dalam Liga Super akibat masalah kewangan.

"Saingan liga musim depan akan bermula lewat iaitu pada April, jadi jika kita berjaya mendapat jemputan MAFA juga akan berbincang dengan pasukan Melaka FC sama ada akan bergabung atau sebaliknya kerana mempunyai masa yang suntuk untuk melakukan persediaan," katanya.

Terdahulu pada kongres itu, MAFA mengumumkan beberapa nama baharu yang membarisi jawatankuasa eksekutif baharu bagi tempoh 2023 hingga 2026 dengan Mohd Saiful dilantik sebagai Timbalan Presiden MAFA menggantikan Datuk Mohd Yusof Mahadi.

Jawatan Naib Presiden pula disandang oleh Datuk Khaidhirah Abu Zahar, Datuk Fadzil A Bakar, Datuk Khairi Anuar Ahmad dan Datuk C Revindran.

Barisan Ahli Eksekutif terdiri daripada Mohd Azizi Shahril Abd Razak Khalim, Jezlee Pit, Dr Shankar Gunarasa, Dr Siti Faidul Maisarah Abdullah, Mohd Fairuz Azwad Mohd Zauwawi, Ahmad Khairul Mohd Noor, Melvin Tan Ching Yang dan Syahrul Nizam Shamsuddin. - BERNAMA