TUMPAT:Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) meminta pemain-pemain sektor pertanian, penternakan, dan perikanan, untuk terus meningkatkan pengeluaran hasil bagi menyediakan bekalan makanan mencukupi, kepada masyarakat.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, kementerian itu sentiasa memberikan kerjasama kepada mana-mana pihak, bagi memastikan pengeluaran makanan negara mencukupi untuk dibekalkan kepada seluruh rakyat Malaysia, pada harga berpatutan.

"Kita minta semua sektor pertanian, penternakan dan perikanan, jangan berhenti mengeluarkan makanan, walaupun ketika ini kita berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan wabak COVID-19.

"Teruskan kerja-kerja bagi mengeluarkan makanan dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP), walaupun tidak dinafikan harga pasaran makanan tidak menentu ketika ini," katanya kepada pemberita selepas Program MAFI Prihatin Bantuan Banjir Tahun 2021, di Dewan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tumpat di sini, pada Isnin.

Che Abdullah berkata MAFI sendiri telah menubuhkan bilik gerakan bagi membantu mana-mana usahawan, penternak, petani mahupun nelayan yang menghadapi masalah bantuan dan sebagainya.

Beliau berkata dalam perniagaan, peniaga akan sentiasa mencari peluang mengaut keuntungan, namun kerajaan melalui kementerian mempunyai kaedah bagi memastikan tidak ada golongan melakukan kesalahan, dengan meningkatkan harga barang secara tidak berpatutan.

"Apa yang kementerian mahu pastikan, negara kita terus mengeluarkan makanan kepada rakyat pada harga berpatutan," katanya.

Sementara itu, Che Abdullah berkata senarai 1,461 mangsa banjir di negeri Kelantan khususnya ahli PPK, memperolehi bantuan bekalan makanan keperluan asas dalam Program MAFI Prihatin.

"Ia menunjukan keprihatinan MAFI dalam memberikan bantuan, terutamanya bantuan makanan kepada ahli PPK," katanya.

-- BERNAMA.