KUALA LUMPUR: Laman Agro-Food Sayuran dan Herba di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 menekankan konsep pengeluaran sayur-sayuran komersial dan pertanian bandar berdasarkan aplikasi teknologi yang dibangunkan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

Pengarah Pusat Penyelidikan Hortikultur MARDI Dr Zulhazmi Sayuti berkata antaranya teknologi kilang tanaman untuk pengeluaran sayuran bernilai tinggi sepanjang tahun yang dibangunkan melalui penyelidikan dan pembangunan (RD) MARDI dipamerkan sempena MAHA 2022 itu. 

"Teknologi ini merupakan sistem pengeluaran sayuran dalam struktur tertutup dan terkawal, tanpa terkesan dengan perubahan cuaca yang boleh menggugat hasil, kualiti serta serangan perosak dan penyakit yang berupaya meningkatkan hasil empat hingga 10 kali ganda per unit ruang berbanding kaedah penanaman konvensional," katanya kepada Bernama.

MARDI pada MAHA 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang yang bermula hari ini hingga 14 Ogos itu turut mempamerkan sistem penanaman pengairan sendiri bertingkat terutama bagi tanaman berdaun seperti sayur-sayuran bernilai tinggi.

Beliau berkata sistem itu dapat meningkatkan hasil pengeluaran empat hingga enam kali ganda per unit ruang berbanding tanaman secara konvensional selain menjimatkan baja dan input pertanian hingga 25 peratus berbanding kaedah hidroponik.



MAHA-SAYUR 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR



Selain itu, beliau berkata pengunjung turut berpeluang melihat teknologi bekas pengairan sendiri (SWC) yang merupakan sistem pasu tanaman yang terdiri daripada tiga bahagian iaitu simpanan air, kapilari dan tanaman bagi memenuhi keperluan pertanian bandar serta mengurangkan kekerapan untuk menyiram dan mengawal saiz pokok.

Menurut Zulhazmi, MARDI telah menghasilkan pakej teknologi pengeluaran kubis bulat tanah rendah pada 2018 dan teknologi pengeluaran kubis bunga tanah rendah pada 2020 dalam usaha mengurangkan kebergantungan import tinggi bagi kubis bulat.

"Kesemua teknologi ini dan banyak lagi teknologi MARDI berkaitan sayur-sayuran ada dipamerkan di Laman Sayur MAHA 2022 dalam pelbagai bentuk. Contohnya, teknologi kilang tanaman dengan aplikasi lampu diod pancaran cahaya hasil inovasi MARDI dipamerkan dalam Laman Edibel.

"Teknologi pengeluaran bawang dipamerkan dalam bentuk GreenKit iaitu satu inovasi MARDI untuk perkebunan sendiri. Terdapat juga Laman Doktor Pokok untuk mempamerkan teknologi pengurusan perosak dan penyakit sayur-sayuran di samping berfungsi sebagai klinik tanaman," katanya.

Sementara itu, beliau berkata semua rantaian nilai daripada pengeluar biji benih seperti East West Seed dan Crop Power Sdn Bhd, penghasilan varieti baharu oleh MARDI (Tomato MAHA 18, Cili L5), pemindahan teknologi kepada golongan sasar dalam pertanian bandar (Maybank Urban Farming) turut dipamerkan di Laman Sayuran dan Herba.

Laman Sayuran dan Herba adalah satu daripada lapan laman pertanian iaitu Laman Perikanan, Laman Ternakan, Laman Padi, Laman Buah-Buahan, Laman Nanas, Laman Jentera dan Laman Florikultur yang akan mewarnai MAHA 2022 bertemakan 'Sekuriti Makanan Untuk Masa Depan'.

-- BERNAMA