SERDANG: Dewan Pameran A (Dewan A) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) ditutup sementara berkuat kuasa serta-merta hari ini susulan insiden kecil melibatkan kemunculan asap dan bau kurang menyenangkan pada 4.50 petang tadi.
Menurut Facebook rasmi Expo MAHA 2026, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah dipanggil ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan lanjut sebagai langkah berwaspada.
“Bagi memastikan keselamatan dan keselesaan semua, orang ramai dan pempamer di Dewan A diminta mengosongkan dewan dengan tenang berkuat kuasa serta-merta sehingga makluman lanjut diberikan,” menurut hantaran itu.
Hantaran itu memaklumkan Dewan A hanya akan dibuka semula selepas disahkan selamat oleh pihak berkuasa dan pihak penganjur menegaskan bahawa keselamatan pengunjung, pempamer serta petugas menjadi keutamaan mereka.
“Pihak kami mengambil serius perkara ini dan amat menghargai kerjasama serta kesabaran anda. Maklumat terkini akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” menurut hantaran itu.
MAHA ialah acara dwitahunan dan berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 Sept di MAEPS menghimpunkan kira-kira 2,000 pempamer dan menyasarkan kehadiran lebih empat juta pengunjung pada edisi kali ini.
-- BERNAMA