MALAYSIA
MAHAR kecam pencerobohan hak dan penderitaan kanak-kanak Palestin, gesa tindakan segera antarabangsa

Nurul Izzah berkata tiada kanak-kanak sepatutnya mengalami ketakutan apabila diambil dari rumah pada waktu malam atau menanggung trauma di sebalik jeriji penjara. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) mengecam tindakan penindasan berterusan dan sistematik oleh pihak berkuasa Israel terhadap kanak-kanak Palestin yang ditahan dan disifatkan sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa serta maruah asas manusia.
Penasihat MAHAR Nurul Izzah Anwar berkata tiada kanak-kanak sepatutnya mengalami ketakutan apabila diambil dari rumah pada waktu malam atau menanggung trauma di sebalik jeriji penjara.
"Sasaran terhadap kanak-kanak bukan sahaja melanggar konvensyen antarabangsa, tetapi juga mencemarkan nilai kemanusiaan bersama. Kita perlu bertindak segera untuk menghentikan ketidakadilan ini," katanya dalam satu kenyataan semalam.
MAHAR berkata pelbagai kumpulan kemanusiaan dan hak asasi manusia telah berulang kali mendokumentasikan corak penderaan terhadap kanak-kanak termasuk keganasan fizikal semasa ditahan, menutup mata, ugutan terhadap ahli keluarga, pengasingan berpanjangan, dan pengakuan paksa.Ia menggesa penamatan segera penahanan sewenang-wenangnya dan penderaan terhadap kanak-kanak Palestin, selain menuntut siasatan telus serta kebertanggungjawapan terhadap semua pelaku pelanggaran hak asasi.
Pertubuhan itu turut menuntut pemantauan bebas ke atas pusat tahanan, perlindungan undang-undang mencukupi untuk tahanan, serta pelaksanaan sepenuhnya protokol perlindungan kanak-kanak antarabangsa di semua wilayah yang diduduki.
"MAHAR menggesa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), negara ASEAN dan masyarakat antarabangsa yang lebih luas untuk menuntut keadilan, mendesak tindakan diplomatik dan melindungi masa depan kanak-kanak Palestin daripada terus disakiti," menurut kenyataan itu.
Sejak 7 Okt 2023, perang Israel yang berterusan di Gaza, yang secara meluas dikecam kumpulan hak asasi manusia sebagai kempen genosid, telah mengakibatkan lebih 192,000 rakyat Palestin terbunuh dan cedera, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
--BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami