BAM masih perlu khidmat Rexy - Tengku Zafrul

Tengku Zafrul berkata pengalaman serta falsafah pembangunan tidak wajar dinilai hanya berdasarkan satu kejohanan, sebaliknya dilihat dalam konteks pembangunan jangka panjang.
KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) masih memerlukan khidmat Rexy Mainaky, yang telah menyatakan kesediaan melepaskan jawatan Pengarah Kejurulatihan Beregu negara susulan kegagalan anak buahnya mencapai sasaran pada Sukan SEA Thailand 2025.
Presiden BAM Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata pengalaman serta falsafah pembangunan tidak wajar dinilai hanya berdasarkan satu kejohanan, sebaliknya dilihat dalam konteks pembangunan jangka panjang.
"Saya menghargai keterbukaan Rexy dan pendirian saya jelas, kita masih memerlukan beliau.
"Satu kegagalan tidak menafikan kejayaan besar tahun ini. Kita muncul juara dunia beregu campuran dan buat kali pertama beregu wanita mara ke final Kejohanan Dunia, pencapaian yang mengangkat martabat pemain negara," katanya menerusi platform media sosial hari ini.
Beliau berkata pencapaian di Sukan SEA memberi pengajaran berharga dan BAM akan terus menimba pengalaman, memperbaiki kelemahan serta bangkit lebih matang, dengan pada masa sama menyifatkan temasya dwitahunan itu bukan noktah sebaliknya batu loncatan bagi kemajuan persatuan.
"Sebagai Presiden BAM, komitmen saya kekal membina badminton Malaysia atas asas kukuh dan kejayaan jangka panjang. Perjalanan ini belum selesai. Kita akan terus melangkah bersama," katanya.
Tengku Zafrul berkata prestasi di Sukan SEA Thailand bukan kegagalan individu, sebaliknya tanggungjawab bersama melibatkan pemain, barisan kejurulatihan, pengurusna dan kepimpinan dengan pegangan prinsip "kita menang sebagai satu pasukan, apabila tewas kita juga bertanggungjawab bersama".
"Sukan SEA 2025 bukan pentas yang mudah buat kita. Kita akui kelemahan dan terima hakikat bahawa tidak semua sasaran tercapai. Dalam sukan, keputusan di gelanggang tidak boleh disorok -- ia menuntut kejujuran, keberanian dan tanggungjawab bersama.
"Walaupun sasaran emas tidak dicapai, skuad negara menunjukkan kemajuan positif dengan meraih sembilan pingat, melepasi sasaran awal tujuh pingat. Lebih bermakna, kita meraih pingat perseorangan wanita, pencapaian pertama sejak enam tahun lepas. Ini membuktikan pembangunan bakat berada pada trajektori yang betul," katanya.
Semalam, Rexy secara terbuka menyatakan kesediaannya memikul tanggungjawab susulan kegagalan anak buahnya mencapai sasaran ditetapkan pada Sukan SEA Thailand 2025, termasuk melepaskan jawatan sekiranya menerima desakan daripada mana-mana pihak selepas gagal membantu BAM membawa pulang empat pingat emas pada temasya dwitahunan itu.
Beliau menegaskan tanggungjawab itu sedia dipikul memandangkan Sukan SEA mempunyai prestij tersendiri kerana dianjurkan setiap dua tahun.
Pasukan badminton negara menamatkan kempen Sukan SEA Thailand 2025 dengan satu pingat emas, dua perak dan enam gangsa.
Beregu wanita utama negara Pearly Tan-M Thinaah menamatkan kemarau 10 tahun pingat emas Sukan SEA acara berkenaan selepas mempamerkan aksi cemerlang menundukkan gandingan Indonesia Febriana Dwipuji Kusuma-Meilysa Trias Puspitasari 21-16, 19-21, 21-17.
Kejayaan itu menamatkan penantian sedekad Malaysia selepas kali terakhir dimenangi Amelia Alicia Anscelly-Soong Fie Cho pada edisi 2015 di Singapura.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


