Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Mahasiswa Borneo jadi jambatan hubungkan komuniti, universiti dan negeri

KUALA LUMPUR , Sept 29 - Deputy Minister of Science, Technology and Innovation Datuk Dr Mohammad Yusof Apdal speaks at the MIMOS Technology Preview 2026 at MIMOS Berhad today. - fotoBERNAMA
Mohammad Yusof berkata mahasiswa era baharu juga harus celik dengan sejarah bangsa, peka dengan denyut nadi masyarakat dan faham arus pembangunan yang membentuk negara. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

ALOR GAJAH: Mahasiswa Borneo mempunyai peranan penting sebagai jambatan yang menghubungkan komuniti, universiti dan negeri, selain membantu memperkukuh kefahaman mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Dr Mohammad Yusof Apdal berkata mahasiswa era baharu juga harus celik dengan sejarah bangsa, peka dengan denyut nadi masyarakat dan faham arus pembangunan yang membentuk negara.

“Apabila kita bicara soal masa depan negara, anda semua adalah penentunya. Saudara-saudari harus sedar, anda adalah generasi yang bakal mengisi saf hadapan, menjadi barisan pemimpin, profesional dan penggerak masyarakat yang akan memacu haluan Malaysia pada masa hadapan.

“Khusus buat anak-anak muda Borneo yang menuntut di menara gading seluruh negara, peranan anda jauh lebih besar. Anda ialah duta kecil, jambatan hidup dan ejen penyatu yang menghubungkan komuniti, universiti dan negeri,” katanya ketika berucap merasmikan Simposium Mahasiswa Borneo Aspirasi MA63 di Dewan Auditorium, Canselori Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di sini, hari ini.

Simposium itu disertai 134 mahasiswa daripada beberapa Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), termasuk Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), UTeM, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Mengulas mengenai MA63, Mohammad Yusof berkata perjanjian berkenaan bukan sekadar dokumen sejarah, sebaliknya merupakan asas penting yang mendasari kewujudan Malaysia.

Beliau berkata pelaksanaan MA63 perlu diterjemahkan secara jujur menerusi perundangan yang memelihara hak autonomi wilayah, pengagihan kekayaan negara yang saksama serta amalan federalisme yang sempurna.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan mahasiswa supaya matang ketika membincangkan isu berkaitan MA63 dengan bijak menapis hujah, membezakan persepsi daripada realiti serta bersandarkan fakta dan bukti, khususnya dalam suasana kebanjiran maklumat dan kepantasan media sosial.

“MA63 bukanlah isu Sabah dan Sarawak semata-mata, ia isu seluruh Malaysia. Kita tidak boleh lagi melihat perjanjian bersejarah ini melalui lensa yang sempit atau sekadar sebagai tuntutan sebelah pihak.

“Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersempena dengan sambutan Hari Malaysia baru-baru ini, menyifatkan MA63 sebagai sebuah ‘wa’ad nasional’, iaitu satu komitmen kebangsaan dan tanggungjawab seluruh negara, bukannya sekadar urusan, atau ‘hal orang Sabah dan Sarawak’ sahaja,” katanya.

Beliau turut menyeru mahasiswa memanfaatkan simposium itu untuk mengemukakan hujah dan soalan yang matang serta mendapatkan penjelasan daripada panel, selain membina jaringan dalam bidang pendidikan, penyelidikan, kebudayaan dan pembangunan kepimpinan mahasiswa.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement