MAHB, MOT, APAD bekerjasama dalam semakan mengenai gangguan perkhidmatan Aerotrain KLIA

Sistem Aerotrain itu telah menjalani proses ujian, pentauliahan dan pensijilan yang ketat sebelum pelancarannya. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) sedang bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk menjalankan semakan mengenai gangguan perkhidmatan Aerotrain di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini.
Malaysia Airports dalam satu kenyataan hari ini mengumumkan bahawa KLIA menyediakan APAD dengan dokumentasi teknikal dan data lengkap termasuk maklumat berkaitan insiden perkhidmatan sejak pentauliahan sistem Aerotrain pada 1 Julai, 2025.
"Sejak memulakan perkhidmatan, terdapat tiga insiden berlaku pada 12 Julai, 3 September dan 15 Oktober menyebabkan Aerotrain dihentikan sementara dan penumpang diiringi ke terminal mengikut protokol keselamatan kami.
"Semua insiden berkenaan tidak menjejaskan operasi lapangan terbang kritikal lain kerana pergerakan penumpang antara terminal utama dan bangunan satelit kekal tidak terganggu menerusi perkhidmatan bas ulang-alik," katanya.MAHB berkata walaupun semua insiden termasuk isu-isu kecil, direkodkan dan dilaporkan kepada pengawal selia di bawah MOT yang diberi mandat, hanya ketiga-tiga ini memerlukan pemberhentian sementara dalam perkhidmatan.
"Insiden pada 12 Julai dan 3 Sept melibatkan kehilangan kuasa disebabkan peranti pengumpul arus (CCD) yang tercabut, menjejaskan bekalan kuasa pada laluan pandu dan mengakibatkan Aerotrain terhenti.
"Insiden ini terletak di bawah skop Alstom, kontraktor utama Aerotrain yang bertanggungjawab ke atas sistem kereta api dan cengkaman. Alstom telah menggerakkan pasukan untuk memulihkan perkhidmatan dan menyelesaikan siasatan menyeluruh mengenai punca kejadian itu," katanya.
Penemuan awal mengenai insiden pada 15 Okt menunjukkan bahawa ia berkaitan dengan gangguan kuasa yang menjejaskan kedua-dua laluan pandu, ia dalam skop kerja IJM-Pestech Joint Venture (IPJV) yang bertanggungjawab ke atas sistem pengagihan kuasa dan kerja-kerja pemasangan.
Menurut MAHB, ketiga-tiga insiden berlaku dalam tempoh liabiliti kecacatan (DLP), justeru kontraktor bertanggungjawab sepenuhnya untuk pembetulan, prestasi dan kebolehpercayaan dalam tempoh tersebut.
"Beberapa mesyuarat teknikal bersama telah diadakan dengan pihak pengurusan kanan Alstom dan IPJV untuk mengenal pasti faktor penyumbang dan mempercepatkan langkah pembetulan," kata MAHB.
Sistem Aerotrain itu telah menjalani proses ujian, pentauliahan dan pensijilan yang ketat sebelum pelancarannya.
"Proses ini melibatkan jurutera bebas dan semakan kawal selia penuh untuk memastikan pematuhan dengan semua piawaian keselamatan dan prestasi.
"Lapangan terbang itu akan melantik penilai bebas untuk melengkapkan semakan yang sedang berjalan dan memberikan jaminan tambahan mengenai reka bentuk bekalan kuasa, integriti pemasangan dan kebolehpercayaan sistem secara keseluruhan, menunjukkan komitmen kami untuk melangkaui keperluan kawal selia dalam memastikan jaminan operasi berterusan," katanya.
Sejak memulakan perkhidmatan, MAHB berkata tiga unit Aerotrain secara kolektif telah membawa lebih 5.75 juta penumpang, melakukan lebih 42,000 perjalanan dan mencapai ketersediaan perkhidmatan operasi kumulatif (OSA) sebanyak 99.23 peratus.
"Apa yang penting, tiada gangguan besar yang menyebabkan penumpang terlepas penerbangan mereka. MAHB mengulangi komitmennya untuk memastikan sistem Aerotrain KLIA kekal selamat, dipercayai dan mematuhi semua piawaian kawal selia dan perjanjian tahap perkhidmatan," katanya.
MAHB berkata keselamatan penumpang kekal menjadi keutamaan mereka dan akan terus bekerjasama sepenuhnya dengan APAD dan MOT untuk mengukuhkan prestasi sistem dan mengekalkan keyakinan orang ramai.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami