MALAYSIA
MAHB perlu pantau perkhidmatan Aerotrain, elak gangguan hingga jejas penumpang - Loke

Loke (foto) berkata MAHB juga perlu memastikan kontraktor dalam projek Aerotrain bertanggungjawab sepenuhnya dalam isu tertentu kerana ia masih dalam tempoh liabiliti mereka. -Gambar fail/Bernama
PUTRAJAYA: Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) diarahkan untuk sentiasa memantau dan melaksanakan penyenggaraan terhadap perkhidmatan Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 supaya tidak berlaku gangguan teknikal yang boleh menjejaskan pergerakan penumpang.
Ringkasan AI
- MAHB diarahkan untuk sentiasa memantau dan menyelenggara Aerotrain KLIA Terminal 1 bagi mengelakkan gangguan teknikal yang menjejaskan pergerakan penumpang.
- Aerotrain kembali beroperasi sejak 1 Julai selepas kerja naik taraf bernilai RM456 juta, dan telah digunakan hampir dua juta penumpang.
- MAHB perlu memastikan kontraktor bertanggungjawab sepenuhnya dalam tempoh liabiliti, dan pasukan khas ditugaskan untuk memastikan operasi Aerotrain lancar terutama waktu puncak.
"Sudah tentu apa sahaja gangguan teknikal akan memberikan kesan kepada penumpang dan sebagai satu perkhidmatan kritikal di KLIA, yang perlu kita pastikan bahawa keandalan (Aerotrain) cukup tinggi supaya dapat memastikan pergerakan (penumpang) itu tidak terjejas," katanya.
Pada sidang media selepas majlis perhimpunan bulanan Kementerian Pengangkutan (MOT) di sini hari ini, Loke berkata meskipun wujud beberapa insiden teknikal melibatkan Aerotrain, perkhidmatan itu dilihat berfungsi dengan baik.
"Sistem rel kadang-kadang akan menghadapi gangguan teknikal, ia melibatkan pelbagai komponen seperti mekanikal, teknikal, kadang-kadang perisian dan sebagainya.
"Walau bagaimanapun, kita meminta MAHB memantau setiap hari dan memastikan penyenggaraan dibuat dengan baik," katanya sambil menambah terdapat pasukan ditugaskan bagi memastikan operasi Aerotrain berada dalam keadaan baik terutama pada waktu puncak.
Loke berkata MAHB juga perlu memastikan kontraktor dalam projek Aerotrain bertanggungjawab sepenuhnya dalam isu tertentu kerana ia masih dalam tempoh liabiliti mereka.
Media sebelum ini melaporkan terdapat pihak mahukan MOT menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyiasat punca gangguan perkhidmatan Aerotrain di KLIA Terminal 1 yang didakwa mengalami gangguan sejak beroperasi semula pada 1 Julai lepas.
Perkhidmatan Aerotrain turut dihentikan sementara pada 4 Julai lepas susulan takungan air dalam terowong disebabkan hujan lebat.
Perkhidmatan tren moden tanpa pemandu itu kembali beroperasi sepenuhnya selepas melalui kerja naik taraf bernilai RM456 juta, sebagai sebahagian daripada inisiatif transformasi MAHB berjumlah RM742 juta yang bertujuan memperkukuh kedudukan KLIA sebagai hab penerbangan ulung serantau pada masa hadapan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami