KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kerajaan menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong menzahirkan harapan supaya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) perlu diadakan dalam tempoh terdekat sebelum Monsun Timur Laut.

Menerusi afidavit sokongan yang difailkan Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak bagi menjawab saman pemula oleh penyandang kerusi Parlimen Klang, Charles Santiago pada Isnin, Ismail Sabri berkata, perubahan musim itu diramal bermula pertengahan November ini.

Beliau berkata, ia menunjukkan sifat keprihatinan dan cakna Seri Paduka Baginda dalam mengambil kira faktor kebajikan rakyat walaupun ia bukanlah suatu keperluan di bawah Perkara 55(2) dan 40 Perlembagaan Persekutuan untuk berbuat sedemikian.

Katanya, kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen mengikut dua perkara itu adalah suatu perkara yang tidak boleh diadili dan tidak boleh dipertikaikan di hadapan mahkamah.

Menurutnya, kuasa untuk membubarkan Parlimen adalah suatu kuasa prerogatif Seri Paduka Baginda di bawah dua perkara terbabit.

“Ia mengikut budi bicara membubarkan Parlimen tanpa perlu mendapatkan nasihat daripada Jemaah Menteri di bawah Perkara 40(1) dan 40(1A) Perlembagaan Persekutuan.

“Saya percaya, permintaan itu dibuat tanpa nasihat Jemaah Menteri bersifat akademik kerana Seri Paduka Baginda memperkenankan permintaan itu dan seterusnya membubarkan Parlimen,” katanya.

Ismail Sabri berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai tugas keperlembagaan di bawah Perkara 55(4) Perlembagaan Persekutuan untuk mengadakan PRU15 dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran Parlimen.

Dalam pada itu, menerusi afidavit sokongan difailkan oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh yang difailkan pada hari sama berkata, pihaknya perlu memastikan PRU15 dapat berjalan dengan teratur dan lancar.

Afidavit sokongan difailkan menggunakan tetuan yang sama, Abdul Ghani berkata, ia selaras dengan Perkara 55(4) dan 113(1) Perlembagaan Persekutuan, Akta Pilihan Raya 1958, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan peraturan serta keseluruhan undang-undang berkaitan pilihan raya.

“Plaintif tidak dapat mengekalkan sebarang bentuk relif yang mempunyai kesan sama dengan injunksi atau perlaksanaan spesifik terhadap semua defendan.

“Defendan akan berhujah dengan lebih lanjut pada hari pendengaran permohonan defendan kelak,” katanya.

Beliau berkata, plaintif tidak mempunyai pendirian dari segi undang-undang untuk membawa atau mengekalkan tindakan itu.

Malah katanya, tindakan ini jelas tidak mempunyai asas dan tiada kausa tindakan dalam fakta-fakta kes.

“Saya percaya bahawa tindakan ini adalah mengaibkan, remeh dan menyusahkan malah suatu penyalahgunaan proses mahkamah.

“Saya telah dinasihatkan oleh peguamcara saya dan sesungguhnya percaya bahawa proses mahkamah dalam undang-undang, bukan bermaksud untuk berpolitik atau terselindung maka tindakan ini hendaklah dibatalkan,” katanya.

Pada 11 Oktober lalu, Charles selaku plaintif memfailkan saman pemula terhadap Ismail Sabri, Kerajaan Malaysia dan SPR sebagai defendan susulan pembubaran Parlimen yang dibuat Perdana Menteri sebelum ini.

Berdasarkan salinan saman pemula yang difail, Charles menuntut supaya satu deklarasi bahawa kuasa yang terletak pada Yang di-Pertuan Agong mengikut Perkara 55(2), Perlembagaan Persekutuan hanya boleh dilaksanakan mengikut Perkara 40(1) dan (1A).

Perkara 55(2) membabitkan Yang di-Pertuan Agong boleh memprorog atau membubarkan Parlimen.

Peruntukan Perkara 40(1) pula menyatakan Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat pada menjalankan fungsinya di bawah perlembagaan atau undang-undang Persekutuan.

Pada 14 Oktober, Ismail Sabri, kerajaan dan SPR masing-masing selaku defendan pertama hingga ketiga, memfailkan permohonan untuk membatalkan saman pemula itu berhubung pembubaran Parlimen.

Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.