KUALA LUMPUR: Mahkamah Rayuan di sini hari ini membenarkan permohonan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan bekas Timbalan Pengerusi Eksekutif Malaysian Merchant Marine Berhad (MMM) Datuk Ramesh Rajaratnam for insider trading.

Menurut kenyataan SC hari ini, panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Wong Kian Kheong dalam keputusan sebulat suara mendapati Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dalam membebaskan Ramesh tanpa mengambil kira merit kes itu.

Kenyataan itu menyebut ketika menyampaikan keputusan tersebut, Wong berpendapat Mahkamah Rayuan mempunyai tugas kehakiman selepsa perbicaraan dan semasa rayuan untuk mempertimbang merit rayuan.

"Oleh itu, Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan Ramesh daripada pertuduhan pertama serta mengembalikan sabitan dan hukuman yang dijatuhi oleh MahkamahSesyen sebelum ini," katanya.

Menurut suruhanjaya itu, Mahkamah Rayuan juga mengarahkan agar kes itu dikembalikan kepada mahkamah Tinggi untuk dibicarakan dari segi merit di hadapan hakim lain dan mengekalkan jumlah jaminan RM200,000 dengan seorang penjamin manakala pasport Ramesh diserahkan kepada mahkamah.

Ramesh didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada 29 April 2015 atas tiga pertuduhan melakukan dagangan orang dalam mengikut Seksyen 188(2)(a) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA).

Bagi pertuduhan pertama, beliau didakwa melupuskan 5,000,000 unit saham MMM pada 11 Jan 2010 ketika memiliki maklumat material bukan awam yang berkaitan dengan cadangan pengurangan penarafan kredit oleh Malaysian Rating Corporation Berhad bagi Sekuriti Hutang Islam Al-Bai Bithaman Ajil sebanyak RM120 juta daripada A-ID kepada BB+ID.

Bagi Pertuduhan kedua dan ketiga, beliau didakwa melupuskan 5,200,800 unit saham MMM pada 11 dan 22 Feb 2010 ketika memiliki maklumat material bukan awam yang berkaitan dengan klasifikasi MMM sebagai syarikat PN17.

Pada 11 Sept 2019, Mahkamah Sesyen telah mensabitkan Ramesh atas ketiga-tiga pertuduhan dan beliau dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan denda RM3 juta (atau penjara 3 tahun) bagi setiap pertuduhan. Bagaimanapun, hukuman penjara diperintah berjalan serentak.

Ramesh kemudian memfailkan rayuan dan pada 20 Mei 2021, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan beliau untuk mengetepikan sabitan dan hukuman bagi ketiga-tiga pertuduhan.

Menurut SC, semasa di peringkat Mahkamah Rayuan, SC dengan izin Pendakwa Raya telah memutuskan untuk tidak meneruskan rayuan bagi pertuduhan kedua dan ketiga.

-- BERNAMA