Mahkamah Buruh Bergerak beroperasi tahun ini

Ramanan (tengah) selepas mengadakan Kunjungan Hormat dan Lawatan Kerja Rasmi ke JTKSM Tahun 2026 Putrajaya pada Rabu.
PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia akan melaksanakan inisiatif Mahkamah Buruh Bergerak selewat-lewatnya Ogos ini.
Menteri Sumber Manusia Datuk Sri R Ramanan berkata, projek rintis itu sebagai usaha memudahkan akses keadilan kepada pekerja dan majikan, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Inisiatif ini diumumkan selepas sesi taklimat bersama Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM).
"Sistem ini akan memperkukuh kecekapan Mahkamah Buruh melalui pemasangan Sistem Perekodan Digital (SPD) selaras dengan agenda pendigitalan negara.
"Untuk permulaan kita sediakan tiga unit mahkamah bergerak di Semenanjung terlebih dahulu. Inisiatif ini nanti melibatkan peruntukan RM1.8 juta dan akan disediakan di enam Mahkamah Buruh melibatkan Pejabat Tenaga Kerja Ipoh, Alor Setar, Muar, Rawang, Kuantan dan Kuala Terengganu.
"Pelaksanaan ini akan mempercepatkan prosiding perbicaraan, meningkatkan ketelusan serta memastikan pengurusan rekod kes buruh yang lebih sistematik dan efisien," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan Kunjungan Hormat dan Lawatan Kerja Rasmi ke JTKSM Tahun 2026 di Putrajaya pada Rabu.
Mahkamah Buruh Bergerak jelasnya membolehkan proses perbicaraan dijalankan di lokasi tertentu tanpa memerlukan pihak terlibat hadir ke mahkamah tetap.
Pendekatan ini bertujuan menjimatkan masa, kos perjalanan dan mengurangkan beban yang ditanggung oleh pekerja serta majikan.
Pelaksanaan awal inisiatif ini akan dilaksanakan secara berperingkat di Semenanjung Malaysia sebelum diperluaskan ke Sabah dan Sarawak.
Pendekatan berskala kecil ini akan digunakan bagi memastikan keberkesanan sebelum skop diperluaskan.
Katanya inisiatif ini memberi tumpuan kepada kawasan pedalaman yang berdepan kesukaran untuk mengakses mahkamah buruh, berikutan faktor jarak, kos dan masa perjalanan yang tinggi.
Operasi Mahkamah Buruh Bergerak akan menggunakan tenaga kerja sedia ada, dengan sokongan penstrukturan semula jabatan berkaitan buruh yang sedang dirancang bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk memodenkan sistem perburuhan negara, menyantuni kebajikan pekerja dan majikan, serta memastikan keadilan dapat diakses secara lebih adil dan menyeluruh.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


