PUTRAJAYA: Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi kerusi Parlimen Gua Musang yang dimenangi oleh Mohd Azizi Abu Naim daripada Perikatan Nasional kekal selepas Mohd Azmi Mahmood wakil calon Barisan Nasional (BN) Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah, gagal mengembalikan petisyen pilihan raya yang difailkannya untuk mencabar keputusan pilihan raya bagi kawasan itu.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim menolak rayuan Mohd Azmi dan memerintahkan beliau membayar kos RM30,000.

Dua lagi hakim panel itu ialah hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Abu Bakar Jais.

Semasa menyampaikan keputusan sebulat suara mahkamah, Hakim Abang Iskandar berkata terdapat merit dalam bantahan awal yang dibangkitkan oleh peguam Yusfarizal Yussoff yang mewakili Mohd Azizi.

Mohd Azmi merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 5 Sept lepas yang membatalkan petisyen pilihan raya yang difailkannya selepas beliau (Mohd Azmi) memecat pasukan peguamnya.

Mohd Azmi memfailkan petisyen itu bagi pihak Tengku Razaleigh untuk membatalkan keputusan pilihan raya bagi kerusi Parlimen Gua Musang antara lain atas dakwaan rasuah.

Tengku Razaleigh tewas kepada Mohd Azizi dengan hanya 163 undi. Mohd Azizi memperoleh 21,826 undi, manakala Tengku Razaleigh mendapat 21,663 undi.

Yusfarizal mengemukakan bantahan awal dengan mengatakan bahawa rayuan Mohd Azmi adalah tidak kompeten kerana beliau (Mohd Azmi) telah menggunakan prosedur yang salah dalam percubaannya untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi.

Beliau berkata Mohd Azmi perlu kembali ke Mahkamah Tinggi untuk memfailkan permohonan mengembalikan semula petisyen pilihan rayanya dan tidak memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan.

Peguam Datuk Mohamad Zubairy Hussain yang mewakili Mohd Azmi berkata anak guamnya perlu dibenarkan merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi.

Beliau mendakwa anak guamnya merayu berhubung ketidakpatuhan prosedur oleh hakim Mahkamah Tinggi dalam membatalkan petisyen pilihan raya itu.

-- BERNAMA