IPOH: Mahkamah Pilihan Raya hari ini menolak petisyen bagi membatalkan kemenangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia Muhammad Hilman Idham daripada Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, Ogos lepas.

Peguam Mohd Radzlan Jalaluddin, yang mewakili Muhammad Hilman, ketika dihubungi Bernama berkata Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed menolak petisyen itu dengan kos RM25,000.

Turut mewakili Muhammad Hilman ialah Hasshahari Johari Mawi, Mohd Tajuddin Abd Razak, Muhamad Hafizan Shafuan Kamarulzaman, Shahir Ab Razak dan Awang Armadajaya Awang Mahmud manakala pempetisyen diwakili Datuk Mohd Hafarizam Harun.

Petisyen itu difailkan oleh seorang pengundi DUN Gombak Setia Mohd Shaffie Omar, 40, atas dakwaan menerima RM150 sebagai dorongan kepada pengundi dalam PRN Selangor di antara 4 dan 5 Ogos lepas.

Muhammad Hilman telah memenangi kerusi itu dalam PRN Selangor yang berlangsung pada 12 Ogos lepas apabila memperoleh 30,299 undi bagi menewaskan calon Barisan Nasional Megat Zulkarnain Omardin yang meraih 30,241 undi dan calon bebas Salim Ali (1,076 undi).

Sementara itu, Muhammad Hilman berkata beliau telah berbincang dengan pasukan peguam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab mencemar nama baik dan reputasinya.

"Individu-individu ini telah dikenal pasti untuk tindakan lanjut dalam masa yang terdekat," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

-- BERNAMA