PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi mempunyai kuasa untuk mengeluarkan perintah supaya kanak-kanak bawah umur menjalani ujian DNA bagi memastikan paterniti kanak-kanak itu.

Keputusan itu dibuat oleh panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, Datuk M. Gunalan dan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali hari ini dalam rayuan berhubung kes pertikaian paterniti.

Hakim Vazeer yang menyampaikan keputusan sebulat suara mahkamah berkata demi kepentingan kanak-kanak tersebut untuk mengetahui asal usulnya dan mahkamah mesti menjalankan bidang kuasa yang wujud iaitu Parens Patriae untuk membantu kanak-kanak itu mengetahui kebenarannya.

"Hak untuk mengetahui ibu bapa kandungnya kini diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai hak asasi yang amat penting kepada kanak-kanak," katanya.

Dalam mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes pertikaian paterniti, beliau berkata Mahkamah Tinggi mengguna pakai undang-undang kes Inggeris dan prinsip common law Inggeris yang menyatakan Mahkamah Tinggi mempunyai bidang kuasa sebagai Parens Patriae untuk mengeluarkan apa-apa perintah yang difikirkan sesuai demi kepentingan kanak-kanak termasuk perintah menjalani ujian darah bagi menentukan paterniti.

Hakim Vazeer berkata Mahkamah Rayuan bersetuju dengan dapatan hakim Mahkamah Tinggi berhubung pemakaian prinsip common law dalam kes itu dan tidak menemui sebarang sebab untuk mengganggu pentafsiran undang-undang oleh hakim Mahkamah Tinggi.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan penangguhan pelaksanaan perintah DNA itu selepas peguam Kiran Dhaliwal yang mewakili pasangan yang terlibat dalam saman paterniti kanak-kanak itu, berhasrat memfailkan permohonan kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan.

Keputusan itu dibuat selepas peguam Honey Tan Lay Ean yang mewakili lelaki itu tidak membantah untuk penangguhan perintah tersebut.

Dalam saman terhadap ibu kanak-kanak itu (yang kini telah remaja) dan suami wanita berkenaan, lelaki tersebut mendakwa dia adalah bapa kandung kepada remaja itu. Beliau mahu mahkamah mengeluarkan perintah DNA dijalankan ke atas remaja itu bagi menentukan paternitinya.

Pada 2021, Mahkamah Tinggi memerintahkan ujian DNA dijalankan ke atas remaja itu, dengan alasan bahawa mahkamah mempunyai kuasa untuk memerintahkan ujian sedemikian demi kepentingan kanak-kanak itu. Ini mendorong pasangan tersebut mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan itu.

Mahkamah telah mengeluarkan perintah supaya identiti, butiran dan maklumat berhubung pihak-pihak dalam saman itu tidak diterbitkan.

-- BERNAMA