Mahkamah Tinggi hari ini mencadangkan supaya kes saman fitnah difailkan aktivis Maria Chin Abdullah terhadap Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunus atas dakwaan mengaitkan Bersih 2.0 dengan kumpulan pengganas Daesh, diselesaikan secara baik.

Peguam Melissa Sasidaran, yang mewakili Maria, memberitahu pemberita bahawa Hakim Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab membuat cadangan itu semasa pengurusan kes di dalam kamarnya dengan dihadiri peguam Mohammed Nasser Yusof mewakili Jamal.

Katanya mahkamah menetapkan 9 Jan depan untuk pengurusan kes bagi mengetahui perkembangan proses penyelesaian yang disarankan itu.

Pada 7 Okt lepas, Maria, 60, yang juga pengerusi Jawatankuasa Pemandu Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) menyaman Jamal yang merupakan pengerusi Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu dan Gerakan Merah Malaysia (GMM) selaku defendan.

Dalam pernyataan tuntutan itu, Maria selaku plaintif mendakwa pada 28 Sept lepas, Jamal telah mengeluarkan kata-kata fitnah dalam satu sidang media di perkarangan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan telah diterbitkan serta disiarkan di beberapa portal berita, media cetak nasional dan media elektronik.

Plaintif juga mendakwa, pada 4 Okt lepas, Jamal sekali lagi mengeluarkan kata-kata fitnah terhadapnya di perkarangan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan telah diterbitkan pada 5 Okt di portal berita, media cetak nasional dan media elektronik.

Beliau menuntut ganti rugi am, teruk, dan teladan serta perintah injunksi bagi menghalang defendan daripada mengulangi atau menyiarkan semula perkataan fitnah itu.

-- BERNAMA