KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menambah hukuman penjara tiga hari kepada tiga bulan terhadap pemandu servis e-hailing yang tular di media sosial kerana memandu kereta secara melawan arus di Jalan Klang Lama, dua minggu lepas.
Hakim Datuk Aslam Zainuddin memerintahkan Wong Kok Kong, 32, menjalani hukuman tambahan itu bermula hari ini manakala lain-lain hukuman dijatuhkan Mahkamah Majistret di sini iaitu denda RM6,000 dan lesen dibatalkan selama lima tahun dikekalkan.
Advertisement
Terdahulu, Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur Datuk Mohd Nordin Ismail memohon hukuman berat terhadap Wong agar dapat memberi kesedaran kepada orang awam untuk menghormati undang-undang Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Saya percaya hukuman tersebut (penjara tiga hari) tidak cukup dan saya memohon hukuman ini ditambah supaya masyarakat sedar dan menghormati undang-undang ketika memandu di kawasan yang sibuk di Kuala Lumpur,” katanya yang turut memaklumkan Wong sedar akan tindakannya kerana dia tidak berada di bawah pengaruh dadah atau alkohol.
Peguam K. Gejalaxmi yang mewakili Wong berkata hukuman dijatuhkan oleh majistret adalah seimbang dan adil memandangkan pengakuan bersalahnya menjimatkan masa mahkamah.
Beliau berkata anak guamnya merupakan pesalah kali pertama dan mahkamah tidak seharusnya dipengaruhi oleh laporan serta komen di media sosial.
“Anak guam saya telah selesai menjalani hukuman penjara selama tiga hari dan membayar denda. Tempoh penjara lebih lama akan memudaratkannya kerana dia penanggung tunggal keluarga dan perlu menyara bapanya yang sakit.
“Sumber pendapatan anak guam saya turut terjejas kerana dia tidak dapat memandu selama lima tahun untuk mencari rezeki. Keputusan majistret tidak sepatutnya diganggu dan tiada sesiapa yang cedera atau harta benda rosak,” katanya.
Pada 6 April lepas, Majistret Tg Syazwany Yasmyn Tuan Roslan menjatuhkan hukuman penjara tiga hari dan denda RM6,000 terhadap Wong dan memerintahkannya dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda.
Mahkamah juga memerintahkan agar lesen memandu tertuduh digantung selama lima tahun.
Wong didakwa memandu Proton Saga berwarna putih dengan cara melulu dan berbahaya kepada pengguna jalan raya lain di Jalan Klang Lama, di sini pada 9.44 pagi, 5 April lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda maksimum RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang lima tahun dan lesen memandu percubaan dibatalkan.
-- BERNAMA