NATIONAL
Mahkamah Tinggi tolak permohonan Petronas tangguh saman Petros

Penasihat Undang-Undang Negeri Sarawak Datuk Seri JC Fong, bercakap kepada wartawan ketika ditemui di Mahkamah Tinggi Kuching, di sini hari ini. - Foto Bernama
KUCHING: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) untuk menangguhkan prosiding saman pemula Petroleum Sarawak Berhad (Petros) bagi membatalkan tuntutan Petronas berhubung jaminan bank berjumlah RM7.95 juta.
Ringkasan AI
- Mahkamah Tinggi menolak permohonan Petronas untuk menangguhkan prosiding saman pemula oleh Petros, dengan pendengaran saman ditetapkan pada 11 Jun, sementara Petronas mengemukakan permohonan rayuan terhadap keputusan tersebut.
- Petros memohon deklarasi bahawa tuntutan Petronas berhubung jaminan bank RM7.95 juta adalah tidak sah, kerana gas yang dibekalkan tidak mematuhi Ordinan Pengagihan Gas (DGO) 2016 yang dipinda pada November 2023.
- Petronas berhujah bahawa pihaknya hanya perlu terikat dengan Akta Pembangunan Petroleum 1974, dan bukan dengan DGO, dalam tuntutannya terhadap Petros mengenai perjanjian pembekalan gas.
Menerusi saman itu, Petros memohon deklarasi bahawa tuntutan Petronas pada 14 Okt 2024 berhubung jaminan banknya adalah tidak wajar, menyalahi undang-undang dan justeru itu, adalah tidak sah serta terbatal.
Tuntutan itu membabitkan pembayaran bagi gas asli yang dibekalkan oleh Petronas kepada Petros di bawah satu perjanjian pembekalan gas bertarikh 30 Dis 2019.
Pada prosiding sebelum ini, Petros melalui peguamnya Sim Hui Chang berhujah bahawa perjanjian itu tidak dapat dilaksanakan susulan pindaan kepada Seksyen 7 Ordinan Pengagihan Gas (DGO) 2016, yang digubal pada November 2023, yang menyatakan bahawa tiada orang selain pengagregat gas boleh membekalkan atau mengagihkan gas di Sarawak tanpa lesen yang dikeluarkan oleh Pengarah Pengedaran Gas.
Oleh itu, Petros berhujah adalah tidak wajar bagi Petronas untuk menuntut bayaran bagi gas yang telah dibekalkan secara tidak sah dan bertentangan dengan ordinan berkenaan.
Bagaimanapun, peguam Alex Ngu yang mewakili Petronas menafikan ia tertakluk kepada DGO kerana hanya perlu terikat dengan Akta Pembangunan Petroleum 1974.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami