KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah untuk menggantung prosiding kes saman berhubung cukai pendapatan berjumlah RM9.41 juta sementara menunggu penyelesaian rayuannya di Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan Malaysia.

Peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee berkata Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain menolak permohonan anak guamnya dengan kos RM5,000 perlu dibayar kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

"Mahkamah menolak alasan pemohon (Muhammad Shafee) bahawa wujud keadaan istimewa untuk menggantung prosiding itu. Mahkamah menetapkan pengurusan kes pada 6 Okt ini bagi menetapkan tarikh pendengaran kes saman itu," katanya ketika dihubungi pemberita selepas prosiding secara dalam talian hari ini.

Sementara itu, Peguam Kanan Hasil Al-Hummidallah Idrus, yang mewakili LHDN ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

Prosiding hari ini turut disertai peguam Datuk Seri Rajan Navaratnam dan Wee Yeong Kang yang mewakili Muhammad Shafee manakala LHDN turut diwakili Peguam Kanan Hasil Norhisham Ahmad dan Muhammad Faqrol Syazreen Mohd Ghause.

Muhammad Shafee, 70, memfailkan permohonan itu pada 3 Nov 2021 antara lain memohon perintah supaya prosiding itu digantung sementara menunggu rayuan Datuk Seri Najib Tun Razak dan anaknya Datuk Mohd Nazifuddin berhubung pembayaran cukai pendapatan masing-masing berjumlah RM1.69 bilion dan RM37.6 juta kepada LHDN, diputuskan Mahkamah Persekutuan.

Muhammad Shafee turut memberikan alasan bahawa beliau telah memfailkan notis rayuan terhadap notis taksiran tambahan bagi tahun 2011, 2012, 2013, 2014 dan 2016 kepada LHDN pada 27 Jun 2019 selain wujud keadaan istimewa untuk menggantung prosiding itu.

Pada 27 Sept tahun lepas, LHDN memohon supaya kes saman terhadap Muhammad Shafee diputuskan melalui penghakiman terus atas alasan antaranya defendan gagal membayar keseluruhan tunggakan cukai pendapatan dan kenaikan cukai yang dikenakan ke atas beliau berjumlah RM9,414,708.32 dalam tempoh yang ditetapkan.

LHDN yang memfailkan saman itu pada 6 Mei tahun lepas mendakwa sehingga kini, peguam tersebut masih gagal membayar amaun cukai pendapatan yang masih terhutang bagi Tahun-Tahun Taksiran 2011, 2012, 2013, 2014 dan 2016 termasuk kenaikan yang dikenakan.

Muhammad Shafee merupakan peguam Najib dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan beliau turut berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM9.5 juta daripada Najib serta dua pertuduhan membuat penyata yang tidak betul kepada LHDN.

-- BERNAMA