PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini menolak rayuan tiga individu untuk mencabar keputusan Kabinet kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang membenarkan lesen Lynas Malaysia Sdn Bhd dilanjutkan pada 2019 untuk beroperasi di fasiliti nadir bumi milik syarikat itu.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Supang Lian, Datuk Seri Mariana Yahya dan Datuk Azizul Azmi Adnan memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi telah membuat keputusan yang tepat untuk menolak semakan kehakiman Pengerusi Save Malaysia Stop Lynas Tan Bun Teet serta penduduk Kuantan iaitu Ismail Abu Bakar dan G. Ponusamy.

Ketika menyampaikan keputusan mahkamah secara dalam talian, Azizul berkata relief yang dimohon oleh ketiga-tiga individu sudah dianggap bersifat akademik.

Beliau berkata lesen Lynas telah diperbaharui buat kali keenam dan akan tamat pada 2 Mac 2026 manakala Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) telah meminda syarat-syarat bagi memperbaharui lesen itu.

Azizul juga berkata Lynas telah diberikan lesen oleh AELB untuk mengendalikan fasiliti nadir bumi di Gebeng, Pahang sejak 3 Sept 2012.

Beliau berkata mahkamah tidak akan menzahirkan sebarang pendapat walaupun keputusan yang dibuat sebelum ini berhubung pelanjutan lesen dan pindaan syarat-syarat awal adalah tidak sah.

"Sebarang deklarasi sedemikian oleh mahkamah ini tidak akan menjejaskan hak-hak perayu," katanya sambil menambah mahkamah berpandangan bahawa tidak lagi wujud sebarang kontroversi antara pihak-pihak yang akan menjejaskan mereka," katanya.

Azizul berkata peguam yang mewakili ketiga-tiga individu telah memaklumkan mahkamah bahawa mereka menarik balik permohonan untuk perintah mandamus serta certiorari dalam semakan kehakiman dan hanya ingin memohon deklarasi mahkamah bahawa keputusan melanjutkan lesen operasi Lynas selama enam bulan adalah tidak sah.

Ketiga-tiga individu telah menamakan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan 27 Menteri Kabinet ketika itu, Kerajaan Malaysia, AELB dan Lynas sebagai responden dalam permohonan untuk semakan kehakiman tersebut.

Menerusi semakan kehakiman yang difailkan pada 8 Nov 2019, ketiga-tiga individu memohon deklarasi bagi membatalkan keputusan yang dibuat pada 15 Ogos 2019 oleh Dr Mahathir dan Menteri Kabinet beliau untuk membenarkan pelanjutan lesen selama enam bulan kepada Lynas.

Pada 28 Julai 2021, Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan kehakiman itu dan ini menyebabkan ketiga-tiga individu merayu kepada Mahkamah Rayuan yang mendengar permohonan mereka pada 9 Nov tahun lepas dan menetapkan hari ini sebagai keputusan.

Meskipun rayuan ketiga-tiga individu ditolak, panel yang diketuai Supang mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi yang mengarahkan mereka untuk membayar kos RM20,000 kepada Lynas atas alasan permohonan mereka bukan remeh.

-- BERNAMA