KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu telah menolak saman empat aktivis haiwan terhadap Majlis Daerah Besut (MDB) dan Kerajaan Negeri Terengganu berhubung kematian seekor anjing bernama “Kopi” yang ditembak oleh pihak berkuasa tempatan, dua tahun lepas.
Peguam Adam Luqman Amdan, yang mewakili MDB, memberitahu media bahawa keputusan itu disampaikan oleh Pesuruhjaya Kehakiman Yusrin Faidz Yusoff menerusi aplikasi Zoom hari ini.
Advertisement
Kesemua plaintif iaitu Dr Kartini Farah Abdul Rahim, S. Mukunnan, Hong Hai San dan Shashi Kumar (mewakili Persatuan Kebajikan Anjing dan Kucing Terbiar Selangor) memfailkan saman itu pada 10 Dis 2024 serta menamakan MDB dan Kerajaan Negeri Terengganu sebagai defendan.
Adam Luqman berkata Yusrin Faidz memutuskan bahawa plaintif tidak mempunyai locus standi untuk memfailkan saman pemula kerana mereka bukan penduduk Besut dan gagal membuktikan bahawa mereka memiliki kepentingan sebenar dalam kes itu.
Beliau berkata Yusrin Faidz juga menyatakan bahawa deklarasi yang dimohon plaintif iaitu tindakan MDB menembak Kopi bercanggah dengan Seksyen 29(1)(e) dan Seksyen 30 Akta Kebajikan Haiwan 2015 adalah bersamaan dengan percubaan untuk menguatkuasakan undang-undang jenayah melalui prosiding sivil.
“Mahkamah bersetuju dengan hujahan kami bahawa relif-relif ini pada hakikatnya akan menentukan liabiliti jenayah melalui prosiding sivil sekali gus bercanggah dengan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan berhubung pengasingan kuasa dan mengatasi kuasa pendakwaan Peguam Negara,” katanya.
Adam Luqman berkata mahkamah turut memutuskan Seksyen 30 Akta Kebajikan Haiwan 2015 dengan jelas memperuntukkan bahawa penggunaan senjata api bagi tujuan kawalan populasi haiwan adalah dibenarkan.
“Mahkamah memutuskan bahawa tindakan menembak haiwan bagi tujuan kawalan populasi haiwan adalah selaras dengan peruntukan Akta Kebajikan Haiwan 2015 serta Seksyen 9(1) dan (2) Undang-Undang Kecil Pelesenan Anjing Majlis Daerah Besut,” katanya.
Peguam itu berkata mahkamah turut memutuskan bahawa Kerajaan Negeri Terengganu tidak bertanggungjawab secara vikarius terhadap keadaan dalam kes ini.
MDB turut diwakili oleh peguam Mohammad Zaid Daud dan Mohd Munzeer Zainul Abidin manakala Kerajaan Negeri Terengganu diwakili Peguam Persekutuan Zulfazliah Mahmud dan peguam Harvinpaul mewakili keempat-empat aktivis.
Plaintif telah memohon deklarasi bahawa tindakan menembak Kopi melanggar Akta Kebajikan Haiwan 2015, khususnya Seksyen 29(e) dan 30(1), yang melarang penggunaan senjata api terhadap haiwan selain mencabar kesahihan beberapa peruntukan dalam Undang-Undang Kecil Pelesenan Anjing Majlis Daerah Besut, dan mendakwa peruntukan itu bercanggah dengan Akta Kebajikan Haiwan.
-- BERNAMA